'Royalti Bukan Hak Terengganu?, PAN Jangan Jadi Pengkhianat'
KUALA TERENGGANU, 31 Oktober - Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Syarikat Air Terengganu Sdn Bhd (SATU), Abdul Karim Endut, 54, menjadi antara lapan pendaki dari Terengganu berjaya menawan Kem Pangkalan Everest di Kathmandu, Nepal sekitar jam 5 petang pada Selasa.
Beliau yang juga Ketua Ekspedisi berkata, dia cukup teruja dengan kejayaan itu dan lebih manis, mereka turut berpakaian tradisional batik dan semutar sebaik 'menawan' Everest Base Camp (EBC).
Menurutnya, pendakian ke puncak setinggi 5,364 meter mengambil masa 15 hari dengan jarak perjalanan pergi dan balik sejauh 130 kilometer (km).
"Pendakian hari kesembilan pada Selasa bermula dari Perkampungan Lobuche yang berada para paras 4,910 meter sekitar jam 7.30 pagi dan pasukan kami selamat tiba di Kem Pangkalan Everest jam 3 petang waktu tempatan di sini.
"Sepanjang pendakian, keadaan cuaca sangat sejuk dengan suhu serendah antara negatif lapan hingga 16 darjah Celsius.
"Selain itu, kami terpaksa melalui laluan yang berbatu serta keadaan cuaca berangin antara cabaran buat kami semua untuk menamatkan kembara ini," katanya yang pertama kali menyertai ekspedisi tersebut.
Tambah beliau, ekspedisi ini turut disertai pendaki pertama Terengganu yang berjaya menawan puncak Gunung Everest pada 2007 iaitu Mohd Rafi Kori, 45.
"Pengalamannya yang sudah lima kali berjaya menawan EBC banyak membantu melancarkan ekspedisi ini," ujarnya lagi.
Abdul Karim berkata, perjalanan turun dari EBC menuju ke Perkampungan Lukla dan Kathmandu pada 2 November ini dengan jarak perjalanan sejauh 60 km mengambil masa selama tiga hari sebelum pulang ke tanah air.
"Pasukan pendaki ini dijangka tiba di Malaysia pada 5 November ini," katanya.
Selain Muhamad Rafi dan Abdul Karim, pendakian itu turut disertai Mohamad Salam Muda, 38; Mohd Yusri Gati@Mohd Gati, 37; Mohd Juhairi Mohd, 39; Mohd Izwan Awang, 37; Mohd Ghazali Kori, 37 dan Hairry Helmy @ Khairy Mustafa, 48.
Bagaimanapun,difahamkan salah seorang pendaki tidak berjaya sampai sehingga ke puncak atas faktor kesihatan yang tidak mengizinkan.
Program kembara oleh Kelab Sukan Dan Kebajikan Kakitangan SATU Terengganu (KSKK) dengan Kerjasama Kelab Terengganu BackPackers juga mendapat tajaan rakan agensi seperti Ladang Rakyat, TDM, KMI Healthcare, Jaks Resources, PTT Energy, Asmak, Hospital Salam dan Adeqsue.
Sementara itu, Muhamad Rafi berkata, walaupun telah berpengalaman sebanyak lima kali tiba ke kem pangkalan tersebut, suhu serendah negatif lapan hingga 16 darjah Celsius antara cabaran yang perlu dilalui sepanjang ekspedisi itu.
"Saya bersyukur kerana pengalaman kali kelima menuju ke pangkalan ini berjaya direalisasikan," ujar beliau.
Katanya lagi, sepanjang tempoh pendakian, kesemua pendaki merasai pengalaman baharu iaitu bertemu pendaki lain dari seluruh dunia dan dalam masa yang sama dapat mempromosikan Malaysia dan Terengganu secara amnya di mata dunia.