Jalur Gemilang
Berita :
CJ Bio: Kerajaan Negeri Dengar Penjelasan Rasmi, Mahu Kebajikan Pekerja Terbela
CJ Bio: Kerajaan Negeri Dengar Penjelasan Rasmi, Mahu Kebajikan Pekerja Terbela
Noraini Jusoh
1 jam yang lepas
73

KUALA TERENGGANU, 4 Oktober – Kerajaan Terengganu mendengar penjelasan rasmi daripada pengurusan CJ Bio Malaysia Sdn Bhd berhubung dakwaan penutupan operasi kilang bioteknologi itu di Taman Biopolimer Kerteh, Kemaman.

Pengerusi Jawatankuasa Ekonomi Digital, Pendapatan Baharu, Perdagangan, Perindustrian dan Teknologi Hijau negeri, Mohd Nurkhuzaini Ab. Rahman berkata, pihaknya bertemu pihak syarikat itu hari ini bagi mendapatkan maklumat rasmi termasuk mengenai tarikh penutupan operasi.

Menurutnya, kerajaan negeri telah menghantar surat kepada syarikat itu kira-kira tiga minggu lalu bagi mendapatkan penjelasan mengenai perkembangan tersebut.

“Petang ini (tadi) kita bertemu dengan pihak pengurusan untuk mendapatkan perkembangan semasa. Selepas pertemuan itu, barulah kerajaan negeri akan menentukan pendirian dan tindakan yang sewajarnya.

“Jika perlu, perkara ini akan dibincangkan bersama Exco dan Menteri Besar sebelum satu kenyataan rasmi dibuat selepas Mesyuarat Exco pada Rabu ini,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Penutup Karnival Usahawan Sejahtera 2026 di Yayasan Pembangunan Usahawan (YPU) di sini pada Ahad.

Nurkhuzaini menjelaskan, pengurusan syarikat berkenaan tidak mempunyai kaitan secara langsung dengan pentadbiran kerajaan negeri memandangkan ia merupakan pelaburan langsung asing (FDI).

Dalam pada itu, katanya, kerajaan negeri difahamkan bahawa Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) dan Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC) sedang berusaha mencari pelabur baharu untuk mengambil alih kilang tersebut.

Usaha itu bertujuan mengelakkan fasiliti bernilai tinggi berkenaan terbiar.

“Tarikh penutupan itu memang kerajaan negeri tidak dimaklumkan secara rasmi. Notis yang kita terima pun melalui pekerja-pekerja dan apabila ditanya mengenai sebab utama penutupan, mereka sendiri tidak mengetahui secara jelas.

“Jadi kita dengar penjelasan daripada pihak syarikat supaya kerajaan negeri mendapat gambaran sebenar mengenai perkara ini,” katanya.

Beliau mengakui, sebarang penutupan operasi yang melibatkan lebih 400 pekerja akan memberi kesan kepada rakyat dan ekonomi setempat.

Sehubungan itu, katanya, kebajikan pekerja perlu diberikan perhatian sekiranya pemberhentian berlaku.

“Kita perlu dapatkan maklumat dahulu supaya rakyat kita, kalau diberhentikan, perlu ada satu pembelaan.

“Tidak boleh mereka diberhentikan dan tamat kerja begitu sahaja tanpa sebarang sumbangan atau pampasan selepas berkhidmat, contohnya selama 10 tahun. Mereka perlu diberikan insentif atau pampasan yang sewajarnya oleh pihak syarikat,” katanya.

Nurkhuzaini berkata, tindakan lanjut kerajaan negeri akan diputuskan selepas pihaknya menerima penjelasan lengkap daripada pengurusan syarikat berkenaan.


Tag :

Jalur Gemilang

Artikel Berkaitan