MARANG, 17 Oktober - Seramai 14 orang usahawan kecil di kawasan Rhu Rendang telah terlibat dalam pendaftaran perniagaan dalam satu program melibatkan kerjasama Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) dan Pusat Khidmat Masyarakat Ahli Dewan Undangan Negeri (DUN) Rhu Rendang.
SSM telah membantu daftar niaga usahawan ini melibatkan pendaftaran secara percuma beberapa orang peserta dan memudahkan urusan dalam program tersebut.
Ketua Seksyen Operasi SSM, Mohd Khairuddin A Manaff berkata, pihaknya telah membantu tiga orang peserta mendaftar secara percuma manakala dua orang lagi di bawah Bantuan Prihatin Nasional.
“Usahawan perlu mendaftar SSM agar dapat manfaat bantuan daripada agensi atau jabatan terlibat untuk bantu perusahaan mereka.
“Seperti contoh lain juga, kemudahan mendapatkan latihan, mendapat pinjaman daripada agensi, memudahkan usahawan untuk membuka akaun dan meningkatkan keyakinan pelanggan itu sendiri," katanya.
Sementara itu, Pegawai Khas Pusat Khidmat Masyarakat ADUN Rhu Rendang, Nasaruddin Samsudeng mengucapkan jutaan terima kasih di atas kerjasama yang diberikan daripada pihak SSM.
“Program ini merupakan kali kedua diadakan setelah sebelum ini seramai sembilan orang telah berdaftar pada program kali pertama.
“Mudah-mudahan dapat membantu para peniaga kecil kita di kawasan DUN Rhu Rendang," ujarnya.
Seorang usahawan kecil yang membuat ukiran bot, turut diserahkan sendiri daftar niaga oleh SSM di rumahnya.
Turut hadir, Pengurus Pembangunan Usahawan YPU Negeri Terengganu, Engku Mohd Hairulnizam Tuan Ahmad dan Pengarah Kraftangan Negeri Terengganu, Juhairi Azmi.