Kerajaan Negeri sedang bergerak atas rangka untuk melahirkan masyarakat madani yang bertamadun dan mempunyai jati diri untuk berdikari dan produktif. Kerajaan Negeri telah memperluaskan peruntukan untuk memudahkan rakyat untuk terus berdikari bagi membina kekayaan sendiri tanpa bergantung dengan pihak lain serta bebas daripada pemikiran yang terikat dengan subsidi dan bantuan pihak tertentu dalam kehidupan dan kenegaraan.
Ibnu Khaldun menyebut bahawa manusia adalah makhluk bertamadun dan masyarakat madani yang boleh menghasilkan pelbagai pekerjaan hasil daripada dirinya dan sumber sekelilingnya. Inilah yang dipanggil sebagai sumber tenaga manusia. Dalam organisasi samada kerajaan atau swasta, ia mempunyai jabatan yang khusus bagi menguruskan sumber manusia ini dengan segala latihan dan sebagainya, menjelaskan betapa pentingnya sumber manusia ini. Dana Raya tidak mampu membina masyarakat madani, kerana sumber manusia itu tidak digunakan sebaiknya.
Abu Daud Dan Ibnu Majah meriwayatkan kisah seorang lelaki Ansar yang datang meminta sesuatu daripada Rasulullah. Rasulullah bersabda : "Sesuatu ada di rumahmu? Lelaki itu menjawab : Ya! Kain yang kami memakai sebahagiannya dan kami guna untuk hamparan sebahagiannya dan juga satu bekas yang diguna untuk kami meminum air. Rasulullah bersabda: "Bawa barang itu kepadaku" Lelaki itu membawa keduanya.
Rasulullah memegang keduanya dengan tangannya dan berkata: "Siapa yang mahu membeli kedua barang ini?" Seorang lelaki berkata: "Aku membelinya dengan satu dirham" Rasulullah bersabda: "Sesiapa yang mahu membeli lebih daripada satu dirham?" Baginda mengulangi dua atau tiga kali. Seorang lelaki berkata: "Saya akan membelinya dengan dua dirham"
Rasulullah memberi keduanya kepada lelaki itu dan mengambil dua dirham serta memberi kepada lelaki Ansar dan berkata: "Belilah makanan dengan satu dirham ini dan serahkan kepada keluargamu dan beli sebilah kapak dengan satu dirham dan bawakan kepadaku". Lelaki itu membawa kapak tersebut, lalu Rasulullah mengikat kayu pada kapak itu dengan tangannya. Kemudian baginda berkata: "Pergi dan cari kayu api serta jual dan aku tidak mahu melihat kamu selama lima belas hari".
Lelaki itu pun mencari kayu api dan menjualnya. Lelaki ini datang dengan membawa 10 dirham dan membeli baju dengan setengahnya dan membeli makan dengan setengahnya. Rasulullah bersabda kepadanya: "Ini lebih baik bagimu daripada kamu datang meminta-minta kerana satu titik hitam berada pada mukamu pada hari kiamat".
Sesungguhnya meminta-minta tidak layak melainkan kepada 3 golongan iaitu miskin tegar, penghutang yang terhimpit dan seseorang yg terdesak untuk membayar diyah kerana kesalahan yang dilakukannya (hadis nabi).
Petunjuk nabawi bertujuan untuk mendidik ummah dengan sikap produktiviti dan sifat berdikari wajar dihayati oleh setiap muslim. Ketika itu, Rasulullah bukan sahaja Nabi tapi ketua negara yang memimpin Negara Islam dan mengurus kewangan negara.
Sudah tentu petunjuk nabawi ini perlu digarap dalam kehidupan rakyat Terengganu. Apatah lagi amat kena dengan gelaran Negeri Serambi Madinah yang kita banggakan. Oleh itu, Kerajaan Negeri telah melandasi petunjuk ini dengan berusaha untuk memberi peluang kemudahan rakyat untuk terus berdikari.
Kerajaan Negeri telah menyedia Tabung Usahawan Terengganu Sejahtera (TUGAS) sebanyak RM15 juta. Sepanjang 5 bulan ini Tabung ini telah peruntukan sejumlah RM619000 kpd 185 usahawan. Pinjaman tanpa riba ini boleh dimanfaati oleh usahawan sepanjang setahun dengan jumlah pinjaman antara RM3000 hingga RM10,000 mengikut keperluan. Kerajaan dulu hanya memperuntukkan 5 juta sahaja. Mungkin peruntukan diutamakan untuk Dana Raya daripada peruntukan ini. Wallahu a'lam. Tetapi yang pasti, kesannya tidak sama. Dana Raya gembiranya sementara, tetapi pinjaman TUGAS, boleh mengubah nasib rakyat.
Kerajaan Negeri telah memperuntukkan sebanyak RM5 juta untuk Skim Bantuan Modal Tani (SBMT) yang patuh syariah dan tanpa riba. Kerajaan dahulu hanya RM500 ribu dan ada faedah 3%. Mungkin kerajaan dahulu mengutamakan untuk peruntukan Dana Raya daripada Skim Bantuan ini. Jika ditanya pada petani dan penternak, adakah mereka mahu Dana Raya atau pinjaman ini? Sudah tentu, mereka yang mahu mengikuti petunjuk nabi akan bersedia memilih Skim Bantuan ini daripada Dana Raya dan ramai rakyat yang susah majoritinya terdiri dari nelayan dan petani. Kita bantu mereka, ia lebih kena dengan sasaran. Saya yakin!
Daripada Abu Umamah bahawa Rasulullah bersabda : "Sesorang lelaki memasuki syurga, tercatat dipintu syurga. Sedekah dengan sepuluh kali ganda pahala dan pinjaman dengan 18 kali ganda pahala". Jelas, dengan pinjaman tanpa riba, bukan sahaja rakyat mendapat manafaat yang lebih, malah kerajaan juga mendapat pahala. Kita sama-sama menikmati hasil dunia dan akhirat.
Dana Raya ada manfaat seketika tapi pinjaman ini manfaat yang berpanjangan. Terserah kepada rakyat untuk menilai tapi itulah landasan Kerajaan Negeri untuk membina masyarakat bertamadun.
Ulasan ini bukan untuk memburukkan Kerajaan Dulu dan bukan hendak meninggi Kerajaan Negeri sekarang tapi itulah realiti yang perlu difikir bersama! Adakah inisiatif dan usaha ini boleh dilaksanakan, jika Kerajaan BN memerintah Terengganu dan PH memerintah Malaysia? Kita tunggu PRU 15 untuk membina Kerajaan Malaysia atas permuafakatan PAS dan UMNO yang mampu melakukan yang lebih baik.. InsyaAllah!!
*BERSAMBUNG... INSYA ALLAH !!
YB USTAZ MOHD NOR BIN HAMZAH
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Dakwah dan Penerangan.
Khamis 16 Mei 2019 / 11 Ramadan 1440H