Berita :
Terengganu Alukan Minat Syarikat Kuwaiti Bangunkan Ladang Kelapa Skala Besar
Terengganu Alukan Minat Syarikat Kuwaiti Bangunkan Ladang Kelapa Skala Besar
Ahmad Zaeem Zainudin
2 jam yang lepas
48

KUALA TERENGGANU, 6 April - Cadangan pembangunan ladang kelapa berskala besar di Terengganu dilihat berpotensi menjadi pemangkin utama kepada pengukuhan sektor agromakanan negeri, sekali gus menyokong agenda keterjaminan makanan.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Keterjaminan Makanan dan Komoditi Negeri, Dato' Dr. Azman Ibrahim berkata, kerajaan negeri mengalu-alukan cadangan pelaburan oleh Syarikat Malaysian Kuwaiti Investment Co. Sdn Bhd (MKIC) bagi membangunkan ladang kelapa di negeri ini.

MKIC merupakan sebuah syarikat usahasama yang dimiliki oleh Kementerian Kewangan Malaysia (MOF) dan Kuwaiti Goverment Authorities yang terlibat dalam sektor perladangan dan pemprosesan minyak sawit, penternakan ayam dan perladangan kelapa.

Menurut beliau, langkah itu bukan sahaja mampu meningkatkan pengeluaran kelapa tempatan, malah membuka ruang kepada pembangunan industri hiliran berasaskan komoditi tersebut.

"Tentunya fokus Kerajaan Negeri ialah untuk meningkatkan pengeluaran kelapa negeri, menyediakan peluang pekerjaan dan pemindahan teknologi pertanian untuk rakyat kita," katanya.

Terdahulu, kerajaan negeri telah mengenal pasti kawasan seluas kira-kira 1,000 hektar di Sungai Tongkat, Setiu sebagai tapak berpotensi untuk pembangunan projek berkenaan yang turut dipersetujui pihak MKIC.

Tambah beliau, keyakinan terhadap keupayaan syarikat itu adalah berdasarkan kejayaan mereka mengusahakan ladang kelapa seluas 2,000 hektar di Semporna, Sabah yang kini menjadi antara ladang kelapa terbesar di Borneo.

"Melihat kepada kejayaan MKIC membangunkan ladang kelapa seluas 2000 hektar di Semporna yang merupakan ladang kelapa terbesar di Borneo, Kerajaan Negeri memberikan keyakinan akan kemampuan syarikat ini untuk berkolaborasi dalam membangunkan ladang kelapa yang sepertinya di Terengganu," ujarnya.

Beliau berkata demikian menerusi satu hantaran menerusi Facebook rasminya susulan daripada lawatan delegasi kerajaan negeri ke Ladang Nagus milik MKIC di Semporna sebagai sebahagian daripada sesi Mesyuarat Penyelarasan dan Lawatan Projek Penanaman Kelapa, baru-baru ini.

"Bersama saya dalam delegasi Kerajaan Negeri ialah Timbalan Setiausaha Kerajaan (Pembangunan) Dato' Haji Rosli Latif merangkap Pengarah UPEN, Pengarah Pertanian Negeri, Pegawai-Pegawai UPEN dan Lembaga Tabung Amanah Warisan Negeri Terengganu," katanya.

Jelas Dr. Azman, beberapa siri perbincangan dan lawatan tapak telah diadakan antara kedua-dua pihak bagi memperhalusi cadangan tersebut sejak akhir tahun 2025 lagi.

Menurutnya lagi, kerajaan negeri akan mempermudahkan urusan permohonan tanah serta meneruskan perbincangan di peringkat teknikal bagi memperincikan perancangan perniagaan dan terma komersial projek bagi menunjukkan komitmen terhdap cadangan itu.


Ketupat

Artikel Berkaitan