KUALA TERENGGANU, 6 Mac - Dakwaan Ahli Parlimen Kota Melaka, Khoo Poay Thiong bahawa Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen yang diketuai pembangkang (Perikatan Nasional) tidak penah bermesyuarat merupakan tuduhan yang sangat karut.
Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Datuk Ahmad Amzad Hashim berkata, pihaknya sangat terkejut dengan kenyataan yang dikeluarkan oleh Ahli Parlimen itu sedangkan pada waktu itu JKPK sedang bermesyuarat.
Tegasnya, tuduhan itu tidak berasas kerana seluruh rakyat dan orang ramai boleh melihat setiap kali aktiviti mesyuarat yang diadakan kerana ia dimuat turun dalam facebook rasmi Parlimen Malaysia..
"Sebaik selesai mesyuarat saya terus kembali ke Dewan Rakyat dan memohon speaker mengeluarkan petua atas kenyataan menyeleweng daripada ahli parlimen DAP ini.
"Untuk pengetahuan, bagi tahun 2023, JKPK telah mengadakan 10 mesyuarat dan satu lawatan kerja ke Lynas (manakala) bagi tahun 2024, JKPK telah mengadakan 16 mesyuarat, 5 lawatan kerja ke MCRE Resources, Agensi Angkasa, MGTC, NAHRIM dan Agensi Nuklear, serta telah membentangkan empat penyata dalam dewan.
"Bagi tahun 2025 pula setakat bulan Februari, JKPK telah pun mengadakan dua mesyuarat dan satu lawatan kerja ke Sarawak. Malah, saya baru sahaja selesai mempengerusikan satu lagi mesyuarat JKPK pada 2.30 petang tadi (semalam),"ujarnya.
Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan di facebooknya, semalam.
Dalam pada itu beliau mencabar Ahli Parlimen Kota Melaka itu sekiranya dakwaannya itu benar maka keluarkan sekali lagi kenyataan yang sama.
"Jika berani, Ahli Parlimen Kota Melaka boleh mengulangi fitnah ini di luar dewan,"tegas beliau.
Dalam perkembangan yang sama, beliau menyatakan beliau telah mempengerusikan mesyuarat JKPK Untuk Alam Sekitar Sains dan Perladangan dengan menerima kehadiran Kementerian Perladangan dan Komoditi.
Jelasnya, apa yang menjadi perbincangan selalu berkait dengan kepentingan rakyat sebagaimana minggu lepas pihaknya telah berbincang mengenai Industri Sawit.
"Hari ini (semalam) kami membincangkan Industri Getah,"ujar beliau.