Sidang Kemuncak Antarabangsa Terengganu Kecam Genosid di Palestin
Dari Bisnes Online, Kini Mempunyai Butik Sukan
Oleh: Syed Kamal
KUALA TERENGGANU, 31 Mac – Bermula dengan hobi biasa, seorang anak muda tidak menyangka aktiviti secara suka-suka sewaktu di alam persekolahan kini menjadi punca pendapatan utama dan merupakan seorang usahawan muda yang berjaya di Terengganu pada usia yang muda.
Syed Mustafa Tarmizi Tuan Ahmad, 22, dari Kampung Hiliran kini mampu tersenyum kerana memiliki sebuah Butik SMT Sport menjual kasut sukan dengan aset jualan berjumlah lebih RM200,000 yang mampu menjana pendapatan melebihi RM 30,000 sebulan.
Katanya, dia memulakan perniagaannya tanpa modal di tangan kerana dengan jualan atas talian sebagai ‘dropship’ (orang tengah) tidak memerlukan wang untuk berurusan sehinggalah berlaku urus niaga.
“Semuanya bermula ketika berusia 17 tahun, hanya untuk mengisi masa lapang, saya mencuba nasib menjual kasut bola sepak secara atas talian. Apabila ada pembeli yang berminat, mereka akan menghubungi saya melalui laman sosial (whatsapp) dan akan membuat pembayaran atas talian sekiranya bersetuju, maknanya saya tidak memerlukan modal untuk melakukannya.
“Selepas perniagaan ini semakin mendapat sambutan, segalanya berubah dan saya mula menumpukan secara serius dalam bidang ini setelah tamat persekolahan di usia 18 tahun dengan menguruskan sendiri sebagai pembekal kecil-kecilan dengan bermodalkan RM2,000 dengan hasil jualan sebelum ini,” katanya kepada media Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI) ketika ditemui di Butiknya, di Jalan Hiliran, di sini baru-baru ini.
Dalam pada itu, dia juga turut aktif dalam bidang keusahawanan ketika di KKPB dahulu dan pernah berjaya mendapat beberapa anugerah iaitu Anugerah e-Usahawan Muda MDEC 2015 Peringkat Kebangsaan dan menjuarai Pertandingan SME Bank 90-days Business Challenge 2015/2016 Peringkat Kebangsaan.
Ketika berusia 20 tahun, Syed Mustafa berjaya memiliki sebuah butik sukan yang membekalkan semua kelengkapan permainan bola sepak dan futsal seperti kasut, set jersi, bola dan semua aksesori sukan ini.
“Pada awalnya butik saya beroperasi di Chendering, Kuala Terengganu, setelah setahun beroperasi di situ, atas permintaan ramai, saya berpindah ke Jalan Hiliran kerana kawasan itu lebih strategik dan berhampiran dengan kawasan Bandar yang menjadi tumpuan utama.
Anak ke enam dari tujuh orang adik beradik, berkata dia dibesarkan oleh ibu bapanya, Tuan Ahmad Tuan Syed, 67, yang bekerja sebagai peniaga tukang besi@alminium manakala Ibunya, Tuan Puteh Tuan Syed, 62, seorang suri rumah juga banyak membantu kejayaannya pada hari ini.
Syed Mustaffa kini berhasrat agar perniagaannya ini dapat membuka cawangan ke seluruh negara dengan penambahan jenama kasut seperti Nike dan Adidas supaya dapat membantu orang Malaysia memiliki barangan sukan yang berjenama dan mampu miilik.