Pembatalan Pertemuan Anwar-Prabowo: Ahmad Amzad Desak Penjelasan Segera
"Datang Dan Rasai Sendiri Keindahan Paya Bunga Hotel Terengganu" - Abdul Hadi
Abdul Hadi. |
Pemangku Pengurus Besar PB Hotel, Abdul Hadi Alias berkata, lokasi hotel yang terletak di tengah-tengah bandar Kuala Terengganu itu menawarkan capaian ke banyak tempat menarik di kawasan sekitar.
"Untuk ke Pasar Payang misalnya hanya memerlukan kita berjalan kaki tidak sampai lima minit.
"Selain itu, hentian bas yang terletak bersebelahan hotel memudahkan pengunjung untuk bergerak menggunakan kemudahan awam," katanya ketika ditemui Urusetia Penerangan Darul Iman (UPDI) di hotel berkenaan, hari ini.
Ditanya tentang konsep PB Hotel yang menjadi bualan netizen di media sosial baru-baru ini, beliau menyatakan rasa bangga dengan pelaksanaan patuh syariah yang diperkenalkan.
"Secara fizikal, pematuhan syariah yang dilaksanakan ialah menjaga aspek keperluan ibadah pengunjung Muslim seperti menyediakan sejadah, kain pelikat dan al-Quran di dalam bilik.
Pematuhan syariah tidak membataskan keriangan bercuti. |
"Kita ada juga perdengarkan azan dan pengisian agama dari masa ke masa.
"Bagaimanapun, buat pengunjung bukan Muslim, tidak perlu bimbang.
"Pematuhan syariah Islam adalah penerapan etika, nilai dan disiplin dalam perkhidmatan menjadikan ia sesuai dengan semua golongan," katanya.
Beliau menambah, pengunjung juga pasti tertarik dengan pelbagai jenis makanan yang disediakan.
"Kami memiliki chef yang berpengalaman selama 30 tahun dalam bidang perhotelan untuk menjamu anda.
"Dari tingkat 11 di mana saya berdiri ini, kita boleh melihat panorama seluruh bandar dan pantai Kuala Terengganu yang indah.
"Saya sukacita menjemput pengunjung daripada seluruh dunia menikmati sendiri keindahan dan keunikan hotel kami," katanya.