Delegasi Terengganu Ke Turkiye Bawa Sumbangan RM1.3 Juta

KUALA NERUS, 17 Mac - Delegasi Kerajaan negeri bertolak ke Turkiye pada semalam bagi menyampaikan sumbangan lebih RM1.3 juta kepada mangsa gempa bumi di negara terbabit dan Syria.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan negeri, Wan Sukairi Wan Abdullah berkata kutipan melalui Tabung Terengganu For Turkiye itu amat bermakna sebagai solidariti kerajaan terhadap nasib yang menimpa rakyat di dua buah negara tersebut.

"Alhamdulillah selama sebulan tabung ini telah digerakkan ke seluruh daerah, hasil ini berjaya dikumpulkan melalui agensi, Jabatan, masjid-masjid dan juga NGO di bawah PASrelief.

"Saya mengambil peluang mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua pihak yang terlibat kerana berjaya memperolehi jumlah bantuan yang agak besar untuk membantu rakyat Turkiye.

"Melalui sumbangan ini kita akan menyampaikan bantuan berupa pek makanan sebagai persediaan menyambut Ramadan yang akan tiba tidak lama lagi, menyediakan dapur rakyat serta yang paling utama sekali akan menyumbangkan kontena bagi dijadikan rumah tumpangan sementara kepada mangsa gempa bumi di sana," ujarnya.

Beliau yang mengetuai rombongan Kerajaan negeri, berkata demikian ketika berucap pada Pelepasan Misi Bantuan Kemanusiaan Ke Turkiye, di Lapangan Terbang Sultan Mahmud (LTSM).

Turut menyertai rombongan berkenaan, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Wanita, Zuraida Md Nor dan Pengarah Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI) Mohd Soud Said.

Mengulas lanjut Wan Sukairi berkata, rombongan berkenaan akan berada di sana selama empat malam bagi menjayakan misi bantuan tersebut.

"Doakan kejayaan untuk misi pada kali ini, di atas sumbangan yang diberikan ini Kerajaan negeri mengucapkan terima kasih kepada semua penyumbang yang selama ini tanpa henti menghulurkan sumbangan.

"Di sini saya ingin turut memaklumkan bantuan ke Syria akan turut disampaikan melalui sempadan antara Negara Turkiye dan Syria," ujarnya lagi.