Denda RM400 Ribu, Bas Amfibia Masih Gagal Beroperasi
Bas Amfibia melintasi Masjid Kristal Pulau Wan Man- Gambar Hiasan. |
KUALA TERENGGANU - Syarikat pembekal bas amfibia (Amphicoach) didenda hampir RM400,000 berikutan kegagalan kenderaan itu beroperasi selepas mengalami masalah pemanasan melampau (over heating) ketika proses ujian dilakukan Rabu lalu.
Berikutan kerosakan itu, bas bernilai RM3.3 juta yang dikatakan mampu bergerak dalam air dan di daratan tersadai apabila kerajaan negeri memutuskan untuk tidak menerimanya walaupun tempoh penyerahan kenderaan itu berakhir Oktober tahun lalu.
Bas amfibia itu ditempah khas daripada sebuah syarikat di Malta pada 2014 oleh kerajaan negeri untuk tujuan pelancongan dan operasi menyelamat mangsa banjir di kawasan yang sukar dilalui kenderaan berat.
MyMetro dipetik, Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Maklumat Negeri Ariffin Deraman dilaporkan berkata, syarikat pembekal bas itu dikenakan denda atas kelewatan menyerahkan kenderaan berkenaan dalam keadaan sempurna sebanyak RM1,100 sehari mulai 6 Oktober tahun lalu.
Katanya, sehingga kini jumlah denda yang dikenakan kerajaan negeri ke atas syarikat pembekal bas itu adalah RM349,800 dan mungkin akan mencecah melebihi RM400,000, bergantung atas kelewatan.
“Sejak bas amfibia sepanjang kira-kira 12 meter dan boleh menampung 47 penumpang dengan kelajuan 110 kilometer sejam di darat itu dihantar ke negeri ini pada 18 Februari tahun lalu, kerajaan negeri sudah melakukan beberapa pandu uji dan kali terakhir adalah Rabu lalu.
“Bas yang digerakkan oleh enjin jenis MAN berkapasiti 300 kuasa kuda dengan jet marin berkembar mencapai kelajuan maksimum sehingga lapan knot di dalam air gagal melepasi piawaian ditetapkan apabila berlaku pemanasan melampau ketika ujian dilakukan Jabatan Laut,” katanya ketika dihubungi.
Ariffin yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Alor Limbat berkata, kos keseluruhannya bas berkenaan adalah RM3.3 juta dan kerajaan sudah membuat pembayaran RM3 juta.
“Saya yakin, kerajaan tidak akan bayar satu sen pun baki RM300,000 sehingga bas itu diserahkan kepada kita.
“Bagi mengelakkan kerajaan negeri menanggung kerugian, syarikat pembekal bas masih diberi peluang untuk membaiki kerosakan,” katanya.
Ariffin berkata, kerajaan negeri difahamkan, kerja pembaikan bas akan dilakukan oleh jurutera daripada MAN yang beribu pejabat di Rawang, Selangor, minggu depan.