Didik Mahasiswa Pengetahuan Mendalam Mengenai Keselamatan Jalan Raya


Jabatan Keselamatan, Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) menganjurkan Program Keselamatan Jalan Raya untuk mendidik mahasiswa dan mahasisiswi dengan pengetahuan lebih mendalam tentang keselamatan jalan raya.

Naib Canselor UniSZA, Prof. Dato’ Dr. Ahmad Zubaidi Abdul Latif berkata, penganjuran program yang julung kali dianjurkan itu mendapat kerjasama Jabatan Keselamatan Jalan Raya (JKJR) Terengganu dan SIRIM QAS International Sdn. Bhd.

“Komitmen semua pihak termasuk penglibatan agensi swasta amat penting dalam memberi kesedaran dan meningkatkan kefahaman pelajar tentang pendidikan keselamatan jalan raya.

“Bagi membentuk budaya selamat seterusnya melahirkan generasi baharu pengguna jalan raya yang berhemah dalam kalangan pelajar universiti, kita memerlukan sokongan yang berterusan dari pelbagai pihak khususnya JKJR dan agensi berkaitan,” ujarnya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyempurnakan Program Keselamatan Jalan Raya UniSZA 2016 di UniSZA Kampus Gong Badak, Kuala Nerus, hari ini.

Turut hadir, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UniSZA, Prof. Dr. Nik Wan Omar.

Katanya, sempena kempen keselamatan jalan raya itu, SIRIM QAS International Sdn. Bhd turut mengagihkan topi keledar percuma kepada 200 penuntut yang menyertai perarakan bermotosikal dan ‘long short walk’ dengan jarak antara 2.5 hingga 3 kilometer.



Tag: