• 08 Nov 2024 | 06 Jamadil Awal 1446

Didik Masyarakat dengan Hiburan Selari Syariat

KUALA TERENGGANU, 5 Mac - Masyarakat perlu dididik dengan hiburan yang berlandaskan panduan ditetapkan dan bersesuaian dengan agama serta adat.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Wanita Terengganu, Zuraida Md Noor mempersoal sesetengah pihak yang merosakkan cara berhibur dengan membawa masuk hiburan kebaratan.

Zuraida hairan mengapa diperlukan hiburan ala hedonisme yang menampilkan artis yang terkinja-kinja menari di pentas dengan pakaian yang mencolok mata, sedangkan negara kita majoriti penduduknya adalah Melayu-Islam.

Beliau dalam masa yang samamemuji penganjuran program hiburan yang mengambil kira garis panduan syariat dan lebih bertepatan dengan adab sopan setempat misalnya seperti penganjuran Pertandingan Tilawah dan Hafazan Al-Quran Peringkat Negeri Terengganu yang diadakan baru-baru ini.

"Di saat ada belahan dunia yang lain, subur dengan konsert hiburan yang tidak berlandaskan syariat, kita bawa hiburan yang sesuai dan selari dengan syariat.

"Pertandingan Tilawah dan Hafazan Al-Quran Peringkat Negeri Terengganu, tidak gagal memberi hiburan kepada kaum majoriti muslim.

"Bahkan hiburan sebeginilah yang sewajarnya buat kita yang dididik dalam suasana penuh kesopanan berkat agama Islam dan adat ketimuran itu sendiri," ulasnya lagi.

Zuraida berkata demikian dalam satu hantarannya di media sosial Facebook, semalam.

Jelasnya, baru-baru ini, Terengganu mengadakan Pertandingan Tadarus & Hafazan Al-Quran di Dataran Pejabat Tanah dan Daerah Marang dan ia mendapat sambutan ramai.

"Ini bukti bahawa masyarakat kita sokong dan hadir sahaja majlis yang sebegini, majlis yang selari syariat," tambah beliau lagi.