Didikan Cemerlang Lahir Generasi Terbilang


Oleh: Ahmad Mawardi

HULU TERENGGANU, 18 November - Bimbingan guru-guru di sekolah dan didikan ibu bapa di rumah kepada pelajar dapat menghasilkan mutiara yang sangat berguna dan tidak ternilai kepada keluarga dan masyarakat.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Manir, Hilmi Harun berkata, impak didikan yang terhasil daripada kerjasama guru dan ibu bapa inilah mampu melahirkan anak-anak yang cemerlang di masa kini.

“Kejayaan pendidikan Pusat Asuhan Tunas Islam (PASTI) yang memiliki aktiviti membaca, menghafal doa-doa harian dan ayat-ayat Al-Quran merupakan suatu perkara positif yang menguatkan diri anak-anak setelah mereka dewasa kelak.

"Kita mahu hasilkan generasi yang diterapkan nilai-nilai Islam seperti mana diajarkan dan ditinggalkan oleh Baginda Nabi Muhamad SAW,” katanya ketika merasmikan Majlis Ihtifal PASTI gabungan DUN Manir di Kompleks Tarbiyah Wawasan Tuan Guru Dato' Harun Taib, Kampung Kubang Lembek, semalam.


Turut hadir, Pengerusi PASTI Kawasan Hulu Terengganu Irham Nuri Abidin  dan Ketua Pemuda PAS DUN Manir, Hamdi Harun.

Ihtifal gabungan PASTI itu terdiri daripada empat PASTI iaitu PASTI Al-Ihsan, Kubang Lembek; PASTI Al-Hikmah, Teluk Menara; PASTI Al-Taqwa, Kedai Manir dan PASTI Al-Hidayah, Batu Hampar.


Tag: