Pembatalan Pertemuan Anwar-Prabowo: Ahmad Amzad Desak Penjelasan Segera
Diskaun Barangan Terpilih Sehingga 50 Peratus Sempena Festival Kenyir 2018
HULU TERENGGANU- Berita gembira kepada wanita terutama peminat barangan pinggan mangkuk berjenama Corelle, selain penggemar coklat Daim, barangan permainan dan pelbagai jenis bagasi apabila berpeluang menikmati potongan harga antara 10 hingga 50 peratus sepanjang Festival Kenyir 2018 bermula 30 Ogos hingga 2 September ini.
Pengurus Kanan Korporat Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (Ketengah), Zainuddin Md Zaki berkata, program tradisi tahunan di destinasi percutian negara itu mensasarkan 75,000 pengunjung dalam edisi kelapan melalui tarikan aktiviti dan promosi sepanjang festival berkenaan.
Katanya, promosi dan aktiviti yang dilaksanakan akan memberi tarikan kepada pengunjung terus melawat tasik tumpuan ramai itu.
"Contohnya promosi pinggan mangkuk jenama Corell 16 unit yang biasanya berharga RM239 ditawarkan dengan harga promosi RM199 di samping percuma dua unit mangkuk 144ml, manakala coklat Daim yang dijual RM16.90 satu pek.
"Mereka juga berpeluang cabutan bertuah yang disediakan oleh KH Shoppe, milik anak syarikat Ketengah dengan tawaran hadiah yang lumayan,"katanya kepada pemberita dalam sidang media di tapak perasmian Festival Kenyir 2018, di Pengkalan Gawi, di sini, hari ini.
Zainuddin berkata, hadiah utama bonanza cabutan bertuah yang ditawarkan kepada pengunjung adalah sebuah Motosikal SYM Bonus 110 SR, satu unit televisyen 40 inci dan satu mesin basuh dengan muatan tujuh kilogram manakala cabutan bertuah harian bernilai RM200 untuk lima pengunjung terpilih.
Tambahnya lagi, pada malam 1 September para pengunjung akan disajikan konsert fiesta D’Kenyir yang akan disertai artis-artis terkenal seperti Dato'Hattan, Bob AF, Ronnie Hussein, Floor 88 dan Mat Over.
Menurut beliau, Festival Kenyir 2018 yang menyediakan 35 acara menarik melibatkan aktiviti air dan darat dijangka mampu melonjakkan populariti Tasik Kenyir sebagai tempat pelancongan menarik di Terengganu.
"Antara acara menarik yang disediakan pada festival itu ialah Kenyir Cruise, aktiviti sukan air, Tasaik Rang, Family Wefie D'Kenyir dan sebagainya.
"Salah satu tarikan terbaharu pada kali ini, kita ketengahkan juga Rumah Orang Hulu yang akan mempersembahkan seni dan adat budaya orang hulu seperti Dendang Anak, Silat Kura-Kura, Kertuk Ulu, Tarian Sewang dan sebagainya untuk pengunjung yang datang,"ujarnya.
Zainuddin berkata, Ketengah juga menyediakan kemudahan pengangkutan enam buah bas kepada penunjung dari kawasan letak kereta ke tapak acara secara percuma sepanjang festival berlangsung.
Perasmian akan disempurnakan oleh Menteri Pembangunan Luar Bandar, Rina Mohd. Harun pada 30 Ogos ini manakala majlis penutup oleh Menteri Besar, Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar pada 2 September ini.
“Festival ini adalah usaha terancang kerajaan negeri dan Ketengah dalam mempopularkan lagi Tasik Kenyir sebagai sebuah destinasi perlancongan akua eko yang menggabungkan pelbagai unsur alam semula jadi yang masih terpelihara,” kata Zainuddin.