KUALA TERENGGANU, 30 Ogos - Menteri Besar, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar mengucapkan tahniah kepada pelumba motosikal muda negara Muhammad Hakim Danish Ramli yang berjaya merangkul anugerah Atlet Muda Terbaik pada majlis Anugerah SAM-100PLUS 2022 yang berlangsung di Sunway Resort Hotel, semalam.
Anak kelahiran Terengganu yang kini mewakili pasukan ZK Racing itu terus menempa nama apabila beliau terpilih sebagai penerima anugerah tersebut oleh Persatuan Penulis-Penulis Sukan Malaysia (SAM) berdasarkan prestasi konsisten yang dipamerkan dan kejayaan demi kejayaan yang diperoleh.
Kejayaan Muhammad Hakim atau lebih dikenali sebagai Hakim Danish bergelar juara keseluruhan saingan perlumbaan Asia Talent Cup (ATC) 2022 turut menjadi faktor utama pelumba berusia 16 tahun itu dipilih sebagai penerima anugerah.
“Syabas adik Hakim Danish, teruskan mengharumkan nama negara dalam sukan permotoran ini,” tulis beliau dalam laman facebooknya.
Foto Ihsan: Facebook Persatuan Penulis-Penulis Sukan Malaysia