KUALA TERENGGANU, 22 April - Kerajaan negeri mempergiat pendekatan menyeluruh, termasuk rawatan sukarela dan penglibatan komuniti sebagai 'gatekeeper', dalam usaha membendung penyalahgunaan dadah yang semakin mencabar.
Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Dakwah dan Pemerkasaan Syariah negeri, Dr. Muhammad Khalil Abdul Hadi, berkata usaha menangani isu itu tidak boleh digalas pihak berkuasa semata-mata, sebaliknya memerlukan kerjasama pelbagai pihak termasuk komuniti setempat.
“Sebenarnya dari segi penggunaan dadah yang berlaku dalam semua peringkat, yang lebih mencabar ialah apabila jenis-jenis dadah yang diambil oleh penagih pada hari ini hadir dalam pelbagai bentuk,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan lisan pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu, hari ini.
Menurutnya, perkembangan tersebut menjadikan usaha pencegahan lebih rumit, lebih-lebih lagi apabila penyalahgunaan dadah kini tidak lagi tertumpu kepada golongan muda semata-mata.
“Bukan lagi jenis-jenis dadah seperti sebelum ini dan kesannya lebih bahaya. Apa yang sangat menggerunkan kita ialah kecenderungan yang melibatkan semua umur.
“Ia melibatkan bukan sahaja anak-anak muda, bahkan juga mereka yang telah berkeluarga termasuk golongan berkerjaya dan lain-lain lagi,” jelasnya.
Sehubungan itu, katanya, pendekatan lebih proaktif sedang dilaksanakan, termasuk memperkasakan rawatan dan pemulihan secara sukarela menerusi Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK).
“Maka di sini terdapat beberapa langkah proaktif yang telah diambil oleh pihak kerajaan dan AADK.
“Antaranya ialah memperkasakan rawatan dan pemulihan secara sukarela, keupayaan pemimpin akar umbi sebagai gatekeeper, program pembersihan kawasan berisiko dan juga jaminan kerahsiaan penyaluran maklumat yang dikeluarkan oleh AADK,” katanya.
Dalam masa sama, beliau mengingatkan bahawa penyelesaian jangka panjang memerlukan perubahan sikap masyarakat serta penglibatan aktif komuniti dalam menyalurkan maklumat dan membantu proses pemulihan penagih.
“Dan mengikut data semasa tahun 2025, Terengganu masih lagi berada pada tangga yang kedua. Jumlah ini sangat menggerunkan kita.
“Apa yang penting ialah kita perlu melihat secara positif bagaimana untuk menanganinya,” tegasnya.
Terdahulu, soalan itu diajukan oleh ADUN Air Putih, Mohd Hafiz Adam, berhubung langkah kerajaan negeri dalam menangani kawasan berisiko tinggi serta trend semasa penyalahgunaan dadah di negeri ini.