Dua Calon SPM Terkandas Di Pulau Perhentian


Dua pelajar dari Pulau Perhentian, Besut kemungkinan tidak dapat meneruskan kertas terakhir peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang dijadualkan esok, akibat terkandas di pulau berikutan cuaca buruk pada masa kini.

Pelajar terbabit, Siti Nur Atiqah Azman dan Nor Fadilah Mohd Zaki dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Nasiruddin Shah, Alur Lintang Besut pulang ke kampung di pulau itu sejak Khamis lalu.

Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Pulau Perhentian, Zainuddin Mohamad berkata, pelajar berkenaan pulang ke kampung untuk bersama keluarga sejak Khamis selepas selesai menduduki peperiksaan pada hari itu, bagaimanapun mereka perlu kembali ke sekolah bagi menduduki kertas terakhir subjek Ekonomi.

Katanya, pelajar terbabit terpaksa pulang ke pulau kerana tidak ada tempat tinggal dan sanak saudara yang menetap di darat.

Zainuddin berkata, usaha untuk menghantar dua pelajar terbabit ke daratan hari ini gagal kerana ombak besar sekali gus menyukarkan semua bot untuk keluar ke Kuala Besut.

"Jika melihat kepada keadaan cuaca sekarang kemungkinan dalam tempoh seminggu bot tidak dapat keluar dan  masuk ke daratan," katanya.

Malah, katanya, berpuluh penduduk yang ada urusan penting di darat turut terkandas dan masih berada di jeti bagi menunggu cuaca baik untuk keluar ke bandar.

Zainuddin berharap, pihak terbabit dapat membantu membawa keluar nasib dua pelajar terbabit bagi meneruskan peperiksaan demi masa depan mereka.

Tag: