DUNGUN, 30 Disember - Kampung Pasir Raja, Hulu Dungun kembali dilanda banjir sebentar tadi susulan hujan lebat berterusan sejak petang semalam.
Ketua Polis Daerah Dungun, Superintendan Baharudin Abdullah berkata, penduduk mula berpindah sejak pukul 10 pagi dengan dibantu oleh beberapa anggota agensi kerajaan termasuk polis, bomba dan Agensi Pertahanan Awam Malaysia (APM).
"Setakat pukul 4 petang, seramai 149 penduduk daripada 49 keluarga telah dipindahkan ke rumah saudara-mara dan pusat pemindahan sementara (PPS) di Dewan Orang Ramai Kampung Pasir Raja.
“Meskipun ada kediaman penduduk yang belum dinaiki air, kebanyakan mereka mengambil inisiatif berpindah lebih awal memandangkan hujan lebat masih berterusan,” katanya ketika ditemui di PPS Dewan Orang Ramai Kampung Pasir Raja di sini hari ini.
Tambah beliau, sekiranya keadaan hujan berterusan, dijangka lebih ramai penduduk akan berpindah.
Dalam masa yang sama, penduduk Kampung Shukor dan beberapa kampung lain yang berhampiran dinasihatkan untuk bersiap sedia berpindah.