Elak Kunjungi Pusat Rekreasi Berisiko Kepala Air

HULU TERENGGANU, 3 September - Polis menasihatkan orang ramai supaya mengelak mengunjungi tempat rekreasi di negeri ini yang boleh mendatangkan risiko berlakunya kepala air serta banjir kilat berikutan keadaan cuaca tidak menentu ketika ini.

Ketua Polis Terengganu, Datuk Rohaimi Md Isa berkata, risiko berlaku kepala air di kawasan terbabit sangat tinggi walaupun cuaca baik kerana fenomena itu berlaku akibat hujan di hulu sungai dan puncak bukit.

Katanya, kejadian yang berlaku di Sungai Latar Hulu Kasar, Setiu semalam boleh berlaku di sungai lain atas faktor cuaca yang yang tidak diramal buat masa sekarang.

"Oleh itu kita berharap masyarakat lebih peka dengan keadaan cuaca sekarang.

"Pengunjung juga perlu menilai tahap risiko sebelum membuat keputusan untuk ke kawasan-kawasan sungai bagi tujuan rekreasi," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita di Majlis Perasmian Produk Kumpulan Inovatif dan Kreatif (KIK) Ibu Pejabat Daerah Hulu Terengganu di Pengkalan Lawit Tasik Kenyir, di sini hari ini.

Dalam masa yang sama, pihaknya akan meminta Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) untuk membuat hebahan tentang bahaya kejadian kepala air atau meletakkan papan tanda amaran di kawasan yang berisiko.

Katanya, ini bagi mengelakkan kejadian tidak diingini berlaku yang boleh mengundang bahaya kepada pengunjung termasuk lemas dan sebagainya.

Dalam kejadian jam 5 petang semalam, seramai 32 pengunjung yang berkelah di Lata Ulu Kasar, Setiu berdepan detik cemas apabila terperangkap dalam kejadian kepala air petang tadi.

Kejadian tersebut turut menyebabkan dua kereta, iaitu kereta Perodua Aruz dan Proton Savvy hanyut dibawa arus deras.