KUALA TERENGGANU, 2 Ogos - Enam pemain kelahiran Terengganu dipilih mewakili Malaysia pada Kejohanan Hoki Piala Dunia 2026 yang akan berlangsung di Belgium dan Belanda bermula 14 hingga 30 Ogos ini.
Fitri Saari, Faizal Saari, Hafizuddin Othman, Zaini Mat Deris, Nik Aiman Nik Rozemi dan Akhimullah Anuar Esook merupakan enam sosok yang bakal memperkuatkan skuad Speedy Tigers dalam saingan berprestij dunia itu.

"Kejayaan enam pemain ini menjadi kebanggaan rakyat Terengganu, sekali gus membuktikan bahawa negeri ini terus menjadi antara penyumbang utama bakat hoki terbaik negara," kata PHT.
Sebagai tanda penghargaan dan sokongan, Penaung PHT, Ir. Saiful Azmi Suhaili bersama barisan pengurusan PHT mengadakan satu pertemuan khas dengan pemain-pemain Terengganu sebelum menyampaikan insentif kepada mereka yang bakal membawa nama negara dan negeri di pentas antarabangsa.
"Pihak PHT turut menzahirkan ucapan tahniah dan selamat berjuang kepada semua pemain.
"Mereka diharapkan dapat memberikan aksi terbaik, membawa semangat juang tinggi serta mengharumkan nama Malaysia dan Terengganu di kejohanan berprestij dunia itu," ujar PHT.

Skuad Speedy Tigers dijadual berlepas ke Belgium pada 3 Ogos bagi menjalani kem latihan selama enam hari di Kelab Hoki Gantoise di Gent sebagai persiapan terakhir sebelum menghadapi kejohanan.
Malaysia turut dijadual mengadakan aksi persahabatan menentang Sepanyol pada 13 Ogos sebelum memulakan kempen Piala Dunia dalam Kumpulan B yang turut dibarisi gergasi hoki dunia iaitu Jerman, Belgium dan Perancis.
Malaysia akan membuka kempen menentang juara bertahan, Jerman, pada 15 Ogos, diikuti Perancis pada 17 Ogos sebelum melengkapkan saingan peringkat kumpulan dengan menentang tuan rumah Belgium pada 19 Ogos.