Menjaga Maslahat Umum Lebih Utama Berbanding Perasaan Malu Pesalah
KUALA TERENGGANU, 6 Oktober - Eastern Pacific Industrial Corporation (EPIC) telah menganjurkan EPIC Agriprentice Program Ternakan Kelulut untuk membantu meningkatkan ekonomi golongan berpendapatan rendah (B40) melalui ternakan kelulut.
Sebanyak RM30,000 telah diperuntukkan bagi melaksanakan program tanggungjawab sosial koperat tersebut melibatkan penyertaan 10 peserta terpilih dari kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Batu Buruk.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif EPIC, Ridzuan Ali, objektif utama program itu adalah membantu golongan pendapatan rendah yang ingin menjana pendapatan sampingan serta menggalakkan mereka menceburi industri kecil dan sederhana.
“Pelaksanaan EPIC Agriprentice Program Ternakan Kelulut merupakan sebahagian dari program tanggungjawab sosial syarikat dalam menyokong pembangunan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) di Terengganu.
"Ia juga bertujuan membimbing pengusaha ternakan kelulut yang baru bermula dan kita turut membantu menambahbaik peralatan bagi memenuhi kehendak pasaran dalam dan luar negara," katanya dalam satu kenyataan di sini pada Khamis.
Menurut beliau lagi, program tersebut diisi dengan tujuh modul pengendalian dan latihan praktikal asas memasang ‘topping’ serta proses penyedutan hasil madu kelulut oleh Pengasas Galeri Madu Kelulut Bukit, Sufian Mat Nor.
Di samping itu, para peserta juga diberikan tiga set sarang lebah kelulut dan alat penyedut madu selepas menghabiskan kursus ternakan kelulut itu.
Program tersebut telah diadakan di Galeri Madu Kelulut Bukit dengan kerjasama Galeri Madu Kelulut Bukit dan Pusat Khidmat Masyarakat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Buruk.
Turut hadir dalam program ini Ketua Kumpulan Penyelidik Lebah & Kelulut dari Universiti Malaysia Terengganu, Prof. Dr. Shamsul Bahri Abd. Razak, Pengurus Besar Pertubuhan Peladang Kawasan Kuala Terengganu, Mohamad Wisam Mejam dan Pegawai Khas ADUN Batu Buruk, Abdul Fatah Ghani @ Abdul Ghani.