EPIC Berhad Peruntuk RM75,000 Bagi 'Back To School 2025'

BESUT, 13 Februari – Eastern Pacific Industrial Corporation Berhad (EPIC Berhad) meneruskan program tanggungjawab sosial korporat (CSR) dengan memperuntukkan sebanyak RM75,000 bagi menyantuni 300 orang penerima melalui program 'EPIC Back To School 2025' kali ini. 

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan EPIC Berhad, Dr. Ts. Haji Muhtar Suhaili, berkata program tahunan  tersebut bertujuan membantu keluarga yang memerlukan dan menyokong pembangunan pendidikan di Terengganu melalui bantuan kelengkapan sekolah kepada murid kurang berkemampuan di Terengganu.


 
Tambahnya, program itu diperluaskan ke beberapa kawasan pada tahun ini, memberi manfaat kepada 300 murid di tiga lokasi berbeza; 100 murid dari empat DUN di Kuala Terengganu pada siri pertama, 100 murid dari DUN Kijal, Kemaman pada siri kedua dan 100 murid dari DUN Jabi pada siri ketiga.

“Bagi CSR 'Back To School 2025' siri ketiga kali ini, ia melibatkan 185 orang murid di mana 100 orang murid ditaja oleh EPIC.

“Manakala, 85 orang murid lagi ditaja oleh Pusat Khidmat Dun Jabi, daripada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jabi, Dr. Azman Ibrahim sendiri.

“Jadi program ini sebahagian daripada program CSR yang memang setiap tahun kita buat. Cuma tahun ini lebih ramai daripada tahun lepas. Tahun lepas hampir 100 orang dan tahun ini 300 orang, tiga kali ganda lebih ramai,” jelasnya kepada pemberita di program tersebut di Pasar Raya Zon Ria, Jerteh, semalam..
 
Tambahnya,  dalam usaha membantu persiapan itu, murid yang terpilih telah menerima baucer bernilai RM200 untuk ditebus dengan barang kelengkapan persekolahan seperti pakaian seragam, beg dan pelbagai lagi keperluan asas persekolahan di pasar raya tersebut.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Keterjaminan Makanan dan Komoditi Terengganu, Dr. Azman Ibrahim berkata, usaha EPIC Berhad dalam membantu murid-murid yang memerlukan sangat dipuji.

“Saya berharap semoga tanggungjawab korporat sosial yang dilaksanakan  oleh anak-anak syarikat negeri berkongsi keuntungan untuk dinikmati oleh ahli masyarakat kita diteruskan.

“Dan di pihak DUN Jabi kita akan terus sentiasa bersedia untuk bekerjasama bagi menyediakan program-program dalam bentuk CSR dan kemasyarakatan seperti ini.

“Mudah-mudahan, anak-anak kita ceria untuk kembali ke awal sesi persekolahan dengan pakaian seragam baru dan semangat baru dan semoga mereka menjadi bakal-bakal pewaris untuk meneruskan apa yang kami pikul sekarang ini," ujarnya.


 
Menurutnya lagi, program tersebut bukan sekadar meringankan beban ibu bapa, tetapi juga memberi semangat kepada anak-anak untuk lebih bersedia menghadapi sesi persekolahan.