EPIC, Brunei Jalin Kerjasama Majukan Industri Maritim

BANDAR SERI BEGAWAN, 1 November – Eastern Pacific Industrial Corporation Berhad (EPIC Berhad), syarikat milik penuh Kerajaan Terengganu terus melangkah lebih jauh dalam industri maritim apabila menjalin kerjasama dengan Brunei dalam bidang terbabit.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan EPIC Berhad, Ts. Muhtar Suhaili berkata, majlis Menandatangani Surat Hasrat (LoI) bersama Qaswa Holdings Sdn Bhd (Qaswa) membuka jalan kepada pembangunan fasiliti penyelenggaraan dan penyahtauliahan kapal yang pertama di Brunei Darussalam.

Katanya, ia merupakan peluang besar untuk EPIC Berhad memperluaskan kepakaran ke peringkat antarabangsa sejajar dengan strategi perniagaan syarikat.

"Langkah itu juga berpotensi membawa impak positif kepada industri maritim di Malaysia dan Brunei serta menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi di rantau ini.

“Kami sangat bersemangat untuk meneroka potensi besar ini yang bukan sahaja mendukung strategi perniagaan kami tetapi turut menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi serantau.

“LoI ini mencerminkan komitmen EPIC Berhad terhadap pertumbuhan melalui kerjasama strategik bagi mengukuhkan kedudukannya sebagai pemain industri minyak dan gas pilihan, sambil memacu inovasi perkhidmatan penyahtauliahan dan marin.

“Inisiatif ini juga selari dengan pembangunan Fasiliti Kitar Semula Kapal Hijau ("GSRF") EPIC Berhad di Pelabuhan Kemaman, yang juga berfungsi sebagai Tapak Pelupusan Pesisir atau Fasiliti Pemulihan Penyahtauliahan ("DRF"). Terletak di atas tapak seluas 13 ekar di Pangkalan Bekalan Kemaman ("KSB"), fasiliti dwi-fungsi pertama di Malaysia ini dijadualkan beroperasi sepenuhnya menjelang akhir tahun 2026 selain bakal menjadi penanda aras bagi kemudahan kitar semula serta penyahtaulihan kapal secara Lestari,” jelasnya.

Beliau berkata demikian ketika berucap di majlis pemeteraian yang berlangsung di Bangunan Kementerian Kewangan dan Ekonomi Brunei, di sini, hari ini.

Majlis pemeteraian itu turut disaksikan oleh Menteri Besar Terengganu, Dato’ Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar, Menteri Kewangan dan Ekonomi II Brunei Darussalam, Dato Seri Setia Dr. Awang Haji Mohd Amin Liew Abdullah, Pengerusi Jawatankuasa Ekonomi, Digital, Pendapatan Baharu, Perdagangan, Perindustrian dan Teknologi Hijau negeri, Mohd Nurkhuzaini Ab Rahman.

Untuk rekod, fasiliti tersebut terletak di kawasan strategik seluas 27 ekar di Pulau Muara Besar, Brunei.

Ia dibangunkan oleh konsortium yang diketuai oleh Qaswa bersama Dana Modal Pembangunan Strategik Brunei, dengan kerjasama teknikal syarikat antarabangsa dari Korea Selatan, Dongil Shipyard Co Ltd, dan dari United Kingdom, CessCon Decom Ltd.

Fasiliti berkenaan dijangka mula beroperasi sepenuhnya pada tahun 2026 dan bakal menjadi pusat penyelenggaraan, pembaikan, dan penyahtauliahan marin yang mampan dan moden, menjadikannya tumpuan utama di rantau ini.

Sementara itu, Pengerusi Qaswa, Musa Adnin, menyatakan bahawa pemeteraian LoI adalah pencapaian penting bagi Qaswa dalam usaha membina kerjasama dan pelaburan strategik bersama EPIC Berhad.

"Ia diharap dapat memberikan manfaat besar kepada syarikat dan memperkukuh ekonomi Brunei. 

“Dengan memanfaatkan kepakaran serta rekod pencapaiannya yang kukuh, jalinan hubungan strategik tersebut dijangka memberikan manfaat besar kepada Qaswa serta menyumbang kepada pemerkasaan ekonomi Brunei Darussalam.

"Kerjasama ini juga merupakan langkah signifikan dalam menambah baik keupayaan sektor minyak dan gas serta ekonomi tempatan, seiring dengan visi pembangunan ekonomi mapan negara,” ujarnya.