Jalur Gemilang
Berita :
EPIC Raih Anugerah Majikan Terbaik KWSP 2026
EPIC Raih Anugerah Majikan Terbaik KWSP 2026
Noraini Jusoh
16 jam yang lepas
173

KUALA TERENGGANU, 29 September – EPIC Berhad dan anak syarikatnya, PBK Logistics Sdn Bhd meraih pengiktirafan berganda apabila masing-masing menerima Anugerah Majikan Terbaik KWSP 2026 di Royale Chulan Cerating, semalam.

Kedua-dua syarikat itu antara lima majikan daripada lebih 4,000 majikan berdaftar di Kemaman yang menerima pengiktirafan berkenaan.

Pemilihan dibuat berdasarkan pelaksanaan tanggungjawab majikan serta penglibatan dalam pelbagai inisiatif Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan EPIC, Dr Ts Muhtar Suhaili berkata, pengiktirafan itu mencerminkan komitmen syarikat dalam memastikan kebajikan dan kepentingan pekerja diberi perhatian menerusi pengurusan tenaga kerja yang tersusun.

Menurutnya, tanggungjawab majikan bukan sekadar memastikan pematuhan terhadap keperluan ditetapkan, malah merangkumi penyediaan kemudahan dan akses kepada maklumat berkaitan simpanan persaraan serta perlindungan sosial.

“Bagi EPIC Berhad dan anak-anak syarikat, tenaga kerja memainkan peranan penting dalam menyokong operasi dan pertumbuhan perniagaan.

“Sehubungan itu, pengurusan pekerja perlu selari dengan keperluan perniagaan termasuk pembangunan kompetensi, peningkatan prestasi serta aspek kebajikan dan perlindungan sosial,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Antara kriteria penilaian anugerah itu ialah rekod caruman berkanun yang teratur, penggunaan kemudahan caruman sukarela seperti i-Topup dan Auto Simpan serta penglibatan dalam program celik kewangan melalui sesi taklimat dan penyediaan kaunter bergerak KWSP.

Muhtar berkata, Kumpulan EPIC akan terus memperkukuh amalan pengurusan sumber manusia dan tadbir urus tenaga kerja dengan memberi penekanan kepada pematuhan, pembangunan kompetensi, kesejahteraan pekerja serta keperluan operasi.

Katanya, pendekatan itu penting bagi membangunkan tenaga kerja berdaya saing selain memastikan kesiapsiagaan organisasi menghadapi perkembangan dan keperluan industri.


Tag :

Jalur Gemilang

Artikel Berkaitan