Jalur Gemilang
Berita :
Terengganu Ambil Strategi Ampuh Lindungi Penyu
Terengganu Ambil Strategi Ampuh Lindungi Penyu
Hidayah Azlin
2 jam yang lepas
63

KUALA TERENGGANU, 29 September – Kerajaan Negeri Terengganu mengimbangi pendekatan penguatkuasaan undang-undang dan pemeliharaan ekosistem semulajadi sebagai strategi ampuh bagi memastikan kelangsungan hidup penyu di negeri ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Keterjaminan Makanan dan Komoditi Negeri Terengganu, Dato’ Dr Azman Ibrahim menegaskan, usaha pemuliharaan spesies marin terancam itu tidak hanya bergantung kepada pemindahan telur ke pusat penetasan, malah merangkumi perlindungan habitat secara langsung.

Dr Azman memperbetul persepsi sesetengah pihak mengenai pengurusan telur penyu di pantai-pantai Terengganu.

Katanya, Pantai Mak Kepit di Pulau Redang merupakan lokasi pendaratan sepanjang 150 meter sebagai contoh terbaik kawasan yang mengekalkan proses penetasan secara semulajadi tanpa gangguan manusia.

"Secara purata, sekitar 1,200 pendaratan penyu terutamanya spesies Penyu Agar direkodkan di pantai ini dari Mac hingga Oktober setiap tahun. Setiap ekor Penyu Agar mampu menghasilkan antara 120 hingga 150 biji telur dalam satu-satu masa.

"Istimewanya di Pantai Mak Kepit, telur-telur penyu ini tidak dipungut untuk dibawa ke Santuari Penyu. Sebaliknya, ia dibiarkan menetas secara semulajadi di dalam pasir sebelum anak-anak penyu merangkak keluar menuju ke laut," katanya melalui satu kenyataan, di sini, semalam.

Tambah beliau, suhu pasir memainkan peranan penting dalam biologi pembiakan haiwan tersebut. Suhu pasir yang lebih tinggi akan menghasilkan lebih banyak anak penyu betina, manakala suhu yang lebih rendah menghasilkan anak penyu jantan.

Beliau menjelaskan, perlindungan 24 jam secara efektif dapat dilaksanakan di Pantai Mak Kepit berikutan faktor kedudukannya yang strategik. Namun, bagi pendaratan di pantai-pantai awam yang lebih luas dan sukar diawasi sepanjang masa, pemindahan telur ke Santuari Penyu tetap dilaksanakan bagi mengelakkan ancaman kecurian atau pemangsa.

Mengulas mengenai aspek undang-undang, Dr Azman mengimbas kembali langkah proaktif kerajaan negeri yang telah meminda Enakmen Pemuliharaan Penyu Terengganu pada tahun 2021.

Menurut beliau, sebelum tahun 2021, undang-undang sedia ada hanya melarang penjualan telur Penyu Belimbing sahaja, manakala telur daripada spesies penyu lain masih bebas dijual secara terbuka di pasaran tempatan.

"Pada tahun 2021, saya telah membentangkan pindaan enakmen berkenaan di Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu. Antara intipati terpenting dalam Pindaan 2021 ini adalah pengharaman secara menyeluruh bagi aktiviti penjualan semua jenis telur penyu daripada sebarang spesies di seluruh negeri.

"Enakmen ini memberikan punca kuasa undang-undang yang jelas dan tegas kepada pihak berkuasa untuk mengambil tindakan ke atas mana-mana individu atau pihak yang menjalankan perniagaan membabitkan telur penyu," tegas beliau.

Langkah komprehensif ini membuktikan iltizam berterusan Kerajaan Negeri Terengganu dalam memelihara warisan khazanah laut negara agar tidak pupus ditelan zaman.


Tag :

Jalur Gemilang

Artikel Berkaitan