Esok Hari 'Genting' Kumpulan SG4

KUALA LUMPUR, 1 September - Esok akan menjadi tlhari 'genting' buat empat negeri iaitu Terengganu, Kelantan, Kedah dan Perlis yang membentuk 'State Government 4' atau (SG4).

Isnin ini halatuju dan beberapa resolusi membabitkan pakatan terbabit dijangka bakal diumumkan sempena Sidang Kemuncak SG4 yang diadakan di Bangi, Selangor.

Sebelum ini Menteri Besar Terengganu, Dato' Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, SG4 memfokuskan kepada lima kluster iaitu infrastruktur dan logistik; perdagangan, pelaburan dan perniagaan termasuk industri pelancongan; pertanian dan sekuriti makanan; perundangan dan modal insan; dan sumber dan pendapatan baharu.

Menurut beliau, perkara yang dirangkakan menerusi SG4 adalah untuk memberi nilai tambah selain elemen baharu boleh diusahakan bagi membantu sesama negeri yang ada dalam gabungan tersebut.

"Kerjasama strategik itu adalah bermatlamatkan untuk meningkatkan daya saing dan daya tahan (resilient) di empat negeri berkenaan, pentadbiran yang berkesan dan kewangan yang kukuh.

"Selain itu, sosio ekonomi yang mampan dan pembangunan yang lestari; menerusi pengkongsian intelektual dan pelbagai sumber secara optimum antara negeri-negeri, termasuklah di syarikat berkaitan kerajaan dan badan berkanun di negeri-negeri terbabit," jelasnya.

Umum mengetahui, sumber baharu seperti Unsur Nadir Bumi (REE) yang ada di negeri-negeri terbabit cukup tinggi dengan Terengganu menjadi penyimpan deposit REE terbesar di Malaysia.

Beberapa kerjasama dalam sektor-sektor lain seperti teknologi hijau, pelancongan, pertanian dan pembuatan dijangka akan turut dilancarkan.

Difahamkan tokoh-tokoh besar ekonomi akan hadir dalam sidang kemuncak SG4 esok.


Tag: