Exco Seru Mahasiswa Hayati Setiap Tindakan

KEMAMAN, 24 Mac – Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Negeri, Datuk Razali Idris, menyeru mahasiswa supaya betul-betul menghayati dan mendalami setiap perkara yang mereka lakukan.

Beliau berkata, ia termasuk dalam semua bidang yang mereka ceburi sama ada dalam pendidikan, pertanian, atau pelancongan.

“Kita nak mahasiswa buat sesuatu dengan kesungguhan dan jiwa. Kalau belajar, fahami ilmu dengan mendalam, bukan sekadar nak lulus periksa.

"Jika terlibat dalam pertanian, hayati kepentingannya untuk makanan dan ekonomi.Begitu juga dalam pelancongan, pastikan ia memberi kesan baik kepada negeri kita," jelasnya.

Beliau berkata demikian ketika Sidang Meja Bulat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) belia Kemaman bertempat di Safina Resort di sini semalam.

Turut hadir dalam sidang tersebut ADUN Belia Kijal, Chukai dan Kemasik yang terdiri daripada Khairul Anas Harun, Aina Adam, dan Muhammad Fakhruddin Nordin 

Razali yang juga ADUN Kijal berkata contohnya, dalam sektor pelancongan, Terengganu memberi penekanan kepada Islamic Tourism, selaras dengan dasar kerajaan negeri yang menitikberatkan Enakmen Etika Pematuhan Pemakaian dan Dasar Pematuhan Islam.

Beliau turut menegaskan kepentingan pemikiran Glokal (Global + Lokal), di mana mahasiswa digalakkan untuk berfikir secara global, tetapi dalam masa yang sama tidak melupakan akar budaya dan identiti tempatan.

“Selain itu, saya mencadangkan supaya satu Simposium Belia diadakan bagi mengumpulkan anak muda di bawah 40 tahun untuk berbincang dan bertukar pendapat, sekaligus membentuk jaringan kepimpinan masa depan.

“Saya juga mengalu-alukan belia untuk datang berjumpa saya bila-bila masa untuk berbincang tentang pelbagai isu. 

“Jangan takut untuk bersuara dan berkongsi idea, sebab belia hari ini adalah pemimpin masa depan,” tambahnya.

 


Tag: