Sebatan Syariah: Permulaan Terengganu Mendaulatkan Perundangan Islam
KUALA TERENGGANU, 3 September - Persatuan Muay Thai Terengganu dengan kerjasama Kerajaan Negeri akan menganjurkan Terengganu Fight (T-FIGHT) Festival 2023 di Kompleks Sukan Negeri Terengganu Gong Badak pada 29 dan 30 September ini.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan NGO negeri, Hishamuddin Abdul Karim berkata, pihaknya akan memantau konsep perjalanan festival tersebut supaya mesra syariah dan akan dijadikan sebagai garis panduan bagi sukan bela diri berasaskan Muay Thai lain.
“Sehubungan itu saya akan memohon kerjasama dari Jabatan Mufti Negeri Terengganu supaya menghantar satu pasukan pemantau dengan menyaksikan festival secara lebih dekat dan mengambil maklumat dari pihak penganjur secara langsung pada hari kejadian bagi memastikan festival itu mesra syariat,” katanya dalam Sidang Media di Wisma Darul Iman di sini hari ini.
Katanya kerajaan negeri akan memberi sokongan kepada festival tersebut di atas semangat kesukanan dan akan melaksanakan tambah baik dengan penyertaan pasukan pemantau dari jabatan tersebut.
Sementara itu Pengarah Teknikal T-FIGHT, Muhd Haslizak Hashim berkata kejohanan itu merupakan kesinambungan kepada penganjuran sebelum ini namun kali ini dirancang lebih besar dengan pengisian dan acara yang lebih hebat.
Katanya acara utama ialah Cabutan Bertuah T-FIGHT berupa sebuah kereta Proton SUV X50, Motosikal Yamaha RXZ Restore, Pakej Percutian Empat Hari Tiga Malam Ke Sabah dan beberapa barangan lain.
“Program yang dirancang ini adalah acara yang memfokuskan sukan tempur (gelanggang) MuayThai dan acara Malaysia ‘Book Of Records’ sebagai acara utama program.
"Serta pengisian acara sampingan yang tidak kurang menariknya yang mampu menjadi tarikan para pengunjung dari dalam dan luar Terengganu serta pelancong asing,” jelasnya.
Menurutnya, pelbagai pengisian acara utama dan acara sampingan yang mempunyai elemen tarikan tersendiri bakal ditonjolkan dalam program yang akan diadakan bermula jam 9 pagi hingga 11 malam selama dua hari dua malam itu.