Menjaga Maslahat Umum Lebih Utama Berbanding Perasaan Malu Pesalah
Fiesta Panjat Dan Makan Duku OKB Tarikan Terbaru Pelancongan
Fiesta Panjat dan Makan Duku Orang Kuala Berang(OKB) bakal menjadi satu tarikan terbaru yang bakal dimasukkan dalam kalendar pelancongan di Terengganu dan Hulu Terengganu khasnya.
Pada masa yang sama, aktiviti itu juga mampu membantu meningkatkan ekonomi penduduk setempat.
Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kuala Berang,Tengku Putera Tengku Awang berkata, program yang akan mengisi kalendar pelancongan OKB itu adalah satu alternatif bagi membantu golongan petani yang menghadapi masalah lambakan buah-buahan tempatan terutama duku pada setiap kali musim buah.
"Orang ramai boleh menikmati keenakan buah duku yang ada dengan memanjat dan memungutnya serta makan sepuas-puasnya sambil berkelah di tepi sungai yang mempunyai permandangan menarik. Malah pada hari ini kita membayar untuk 80 pokok dan diagihkan kepada orang ramai untuk menikmatinya.
"Ia juga dpt membantu serba sedikit pekebun memandangkan harga duku yang terlampau rendah sekarang di samping mempromosikan buahan tempatan kepada orang luar.
Beliau berkata demikian kepada Teganukita selepas Program Fiesta Panjat Dan Makan Duku OKB di Sungai Kodok, Paloh,Kampung Langgar, semalam.
Menurut Tengku Putera, promosi makan buah, 'Makan Sampai Kenyang' yang diadakan itu mendapat sambutan menggalakkan dengan kehadiran lebih 500 orang termasuk 300 pelajar sekolah yang menyertai Hari Sukan Negara, baru-baru ini.
Katanya lagi, program seperti ini jika di viralkan di media sosial tentang keunikan peluang membeli pokok duku di kebun, panjat dan memungut sendiri buah serta mencipta kelainan,mampu menarik pelancong luar datang ke kampung-kampung yang mempunyai lambakan pokok duku.
"Bila diviralkan, orang ramai akan datang untuk melihat sendiri dan membelinya. Secara tidak langsung mampu membantu meningkatkan pendapatan penduduk yang bergantung pada hasil duku yang semakin murah kerana lambakan duku yang semakin banyak,"kata Tengku Putera lagi.
Turut hadir, Pegawai Daerah Hulu Terengganu, Azmi Razik, Pegawai Pendidikan Daerah Hulu Terengganu, Jalaluddin Ismail, Penghulu-penghulu Mukim,Ketua-ketua Jabatan dan penduduk kampung.
Sementara itu, Pegawai Daerah Hulu Terengganu, Azmi Razik berkata, program yang julung kali diadakan itu berupaya menjadi program tahunan untuk pelancongan di Hulu Terengganu.
"Tahniah saya ucapkan kepada Tengku Putera kerana berjaya melaksanakan program yang hebat dan pertama kali saya lihat begitu menarik. Saya sendiri cukup teruja apabila merasai sendiri pengalaman panjat dan makan duku secara ramai- ramai,"ujarnya lagi.
Bagi pelajar Sekolah Menengah Sains Hulu Terengganu(SAHUT), Irdina Sahira Ismarhadi,14, dari Marang, berkata, program ini mengajarnya satu pengalaman yang cukup hebat sebagai orang muda mengenai erti kesusahan seorang petani.
"Teruja sangat tengok dan merasai susahnya panjat pokok duku ketika panas untuk kumpul hasil..tapi hari ni saya rasa gembira dapat rasa sendiri pengalaman yang akan jadi kenangan terbaik tahun ini,"ujarnya lagi.