Gambar Jerung Diviral Bukan Pesisir Pantai Terengganu

Gambar jerung yang tersebar di media sosial dengan menyatakan ikan itu ditangkap di kawasan Taman Laut Pulau Kapas, Marang.


Pelancong yang berkunjung ke Terengganu tidak perlu bimbang berikutan penularan gambar jerung di media sosial dengan menyatakan ikan itu ditangkap di kawasan Taman Laut Pulau Kapas, Marang.

 Jabatan Taman Laut Negeri (JTLN) juga menafikan dakwaan terdapat gangguan jerung di kawasan itu susulan penyebaran gambar jerung spesies Bull Shark yang dibawa ke Jeti Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Marang, semalam.

Pengarah JTLN,  Muhammad Nur Ashry Bassari berkata, penularan itu tidak tepat kerana jerung terbabit ditangkap nelayan di luar kawasan Taman Laut Pulau Kapas iaitu tujuh batu nautika dari perairan berkenaan.

"Setakat ini, tiada rekod mengenai gangguan jerung bukan saja di Pulau Kapas malah di perairan negeri ini dan orang ramai tidak perlu bimbang dengan berita yang ditular itu.

 "Diharap orang ramai tidak membuat spekulasi dan menyebarkan gambar tersebut dengan pelbagai andaian yang boleh menimbulkan ketakutan kepada orang ramai dan pelancong,"katanya dalam satu kenyataan kepada media, hari ini.

Nur Ashry berkata, JTLN bersama Jabatan Perikanan Malaysia Terengganu juga melakukan pemantauan dari semasa ke semasa susulan isu ini.

Walaubagaimanapun, anak jerung spesies ini boleh hidup di kawasan pesisiran pantai tetapi tidak berbahaya kepada manusia dan sehingga kini tiada sebarang rekod spesies ini pernah menyerang manusia di Malaysia.

"Kes seperti ini jarang-jarang berlaku semua pihak telah mengambil maklum dan operasi chalet pulau-pulau di Terengganu berjalan seperti biasa,"katanya.

Tambahnya, Mac hingga Oktober juga musim paling sesuai bagi pelancong bercuti di pulau dan pantai di Terengganu setelah musim tengkujuh melabuhkan tirainya.


Tag: