SHMMP KRISMAS: 176 Anggota KPDN Terengganu Ditugaskan Pantau Harga
Gelaran Ir Bukan Untuk Diri Saya - Ahmad Samsuri
KUALA TERENGGANU, 19 September - Dato' Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berkata gelaran Ir (Kejuruteraan Profesional) yang diperolehinya sejak bulan lalu, adalah bukan untuk diri sendiri.
“Ramai kawan berbicara tentang pencapaian gelaran Jurutera Profesional, saya kata ini bukan tentang diri sendiri sahaja, tetapi untuk tujuan motivasi, nak tunjukkan kepada generasi baharu, terutama kepada mereka yang masih berada di dalam sistem pengajian, sama ada di peringkat menengah, ijazah, masters, mahupun PhD,” ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika berucap di Majlis Anugerah Pingat Emas Yayasan Terengganu 2023 (kali ke- 43) & Hadiah Kecemerlangan SPM, STPM dan STAM di Dewan Konvensyen, Taman Tamadun Islam baru-baru ini.
Ahmad Samsuri juga mengingatkan para pelajar supaya kekal bermotivasi dan sentiasa bersedia dengan apa jua cabaran dan dugaan yang bakal dihadapi.
“Saya percaya kita akan bertemu dengan pelbagai cabaran dan ujian tak kira di mana berada sama ada di sekolah atau pun universiti, apabila tamat kita akan berdepan dengan dugaan alam pekerjaan pula, semua ini memerlukan semangat kuat dan kental, supaya kehidupan kita berjalan dengan baik.
“Saya terinspirasi dari kata-kata lagenda tinju dunia Muhammad Ali, tidak ada salahnya jika ditumbuk dan jatuh dalam perlawanan, tapi rasalah bersalah andai jatuh tapi tidak bangun-bangun, jatuh itu bukan bermakna kita kalah.
“Kita juga harus mempunyai objektif dan matlamat dalam kehidupan, supaya sasaran sijil paling tinggi itu dapat kita capai dengan jayanya,” katanya.