Generasi Kedua Felda Selasih Terima Berita Gembira

KUALA TERENGGANU, 11 Mei- Kerajaan negeri meluluskan Rancangan Tanah Berkelompok (RTB) Tapak Rumah Generasi Kedua Felda Selasih dan nama-nama pesertanya akan diumumkan dalam masa terdekat.

Berita gembira itu diumumkan sendiri oleh Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Makanan, Perladangan, Komoditi dan Pembangunan Luar Bandar negeri, Dr Azman Ibrahim semasa Majlis Sambutan Hari Raya di Felda Selasih di Jabi, semalam.

Jelasnya, perkara terbabit telah diputuskan dalam Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri yang terakhir sebelum Aidilfitri baru-baru ini.

"Insya-Allah dalam seminggu dua lagi kita akan buat  undian lot dituruti majlis agihan Jadual 5A. Di mana selepas bayaran premium tanah dijelaskan, akhirnya geran hak milik akan diagihkan, Alhamdulillah kita kata dan kita kota.

"Sebelumnya ramai yang mentertawakan dan menganggap YB (Yang Berhormat) Jabi hanya bermimpi di siang hari untuk selesaikan isu tanah tapak rumah generasi kedua ini kerana ramai juga yang kata puluhan tahun kerajaan 'dulu ngetoh (memerintah) dok leh selesai," katanya.

Tambahnya, kejayaan itu dianggap manis kerana proses untuk keluarkan tanah felda dari Akta Penempatan Berkelompok (GSA) untuk agihkan kepada peneroka-peneroka agak sukar dilakukan.

"Jalan panjang dan berliku yang ambe (saya) lalui untuk sampai ke tahap ini biarlah disimpan sebagai pengalaman. Senyum di wajah rakyat sudah cukup untuk mengubati segala kepahitan lalu. Apa yang penting, kita telah berjaya merealisasikan sesuatu yang pada awalnya dianggap mustahil," jelasnya melalui hantaran di Facebook rasminya, semalam.