Program Ziarah Kasih yang digerakkan Kelab Wartawan Media Terengganu (Kawat) mendapat perhatian Pengerusi Jawatankuasa Komunikasi dan Multimedia & Tugas-Tugas Khas Negeri, Ghazali Taib apabila turun padang menyertai kunjungan ke rumah bekas wartawan sambilan Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) Biro Terengganu yang uzur, Ibrahim Bakar, hari ini.
Ibrahim, 74, dikenali sebagai Pok Him di kalangan rakan media, tinggal bersama isteri, Zainu Zakaria, 60, di Kampung Ladang Sekolah, Kuala Terengganu menghidap pelbagai penyakit dan terbaru, menghidap sakit buah pinggang serta sentiasa berulang alik ke hospital untuk mendapatkan rawatan susulan.
Beliau memulakan karier sebagai wartawan sambilan dengan Bernama sejak 1973 dan sudah berkhidmat di bawah 13 ketua biro.
Ghazali yang juga ADUN Ajil turut menyampaikan sumbangan peribadi kepada Pok Him manakala Kawat menyerahkan barangan keperluan harian.
Timbalan Presiden Kawat, Ahmad Syafri Husnaini Mohamed berkata, ziarah dan sumbangan oleh ahli Kawat adalah tanda ingatan rakan media sebelum ini sentiasa bekerjasama dalam memastikan profesion pengamal media di pandang tinggi dan penting dalam pembangunan negeri dan juga modal insan.