Oleh : Khairuddin Yusoff
HULU TERENGGANU, 24 Ogos -
Semua pihak berperanan menjaga kebersihan bagi mewujudkan suasana yang bersih, cantik dan harmoni.
Semangat ini telah dijayakan melalui program gotong - royong merdeka anjuran bersama Pusat Khidmat Masyarakat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ajil dengan Persatuan Mahasiswa Anak Terengganu (PERMATA) Kebangsaan dengan kerjasama agensi- agensi Kerajaan, semalam.
ADUN Ajil, Ustaz Maliaman Kassim berkata, gelombang kerjasama ini bukan sahaja dapat mengeratkan hubungan silaturahim malah dapat menerapkan sikap tanggungjawab dalam kalangan masyarakat menjaga kebersihan bagi mewujudkan suasana yang bersih dan kondusif.
“Kita melaksanakan satu misi iaitu mahu membentuk Ajil sebagai lokasi yang bersih dengan tema hari kebangsaan tahun ini ‘Sayangi Malaysiaku : Malaysia Bersih’.
“Jadi kita mengharapkan wujudnya gelombang dalam penduduk di Ajil untuk mewujudkan suasana yang bersih walaupun di mana sahaja samada di rumah, masjid, surau, balairaya, taman, dan sebagainya, “ujarnya.
“Dengan pelancaran hari ini kita harap dapat menyerap dan menyebarkan nilai kebersihan di peringkat kampung untuk membentuk kesedaran kepada masyarakat bahawa kebersihan satu perkara yang dituntut oleh islam, “katanya kepada Urusetia Penerangan Darul Iman (UPDI) selepas menyempurnakan majlis tersebut di Dataran Ajil Trade Centre (ATC) Pekan Ajil.
Menurut beliau, jalinan kerjasama mahasiswa dan agensi - agensi kerajaan dan komuniti kampung membantu kesepaduan dalam melakukan kerja bersama.
“Wujudnya jalinan kerjasama yang bagus daripada persatuan mahasiswa, Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) dan agensi- agensi kerajaan dalam gotong royong ini dapat menyatukan entiti ini dalam satu kumpulan dan gerak kerja bersama, “jelasnya.
Sementara itu, Pengarah Program ,Muhamad Afiq Mohd Nawai, yang juga merupakan Yang Dipertua Permata Kebangsaan berkata, program ini disertai seramai 70 mahasiswa PERMATA Terengganu dengan tujuan dapat mendekatkan diri dengan penduduk kampung serta menjadi agen penyumbang kepada pembangunan Terengganu.
“Antara objektif yang disasarkan untuk program ini kita sebagai mahasiswa ingin bergaul dengan masyarakat setempat melalui jalinan dan aktiviti gotong- royong ini.
“ Selaras dengan kedudukan sebagai persatuan di bawah Yayasan Terengganu (YT), kita juga adalah sebagai agen penyumbang kepada pembangunan negeri ini melalui program yang kita laksanakan.
“Oleh itu kita telah memilih kawasan ADUN Ajil yang merupakan ayah angkat kepada PERMATA dan disambut baik oleh semua pihak, “katanya.