Berita :
MPI 2026: UC TATI, UMT, UniSZA Perkasa Kolaborasi Pacu Terengganu Sebagai Hab Inovasi
MPI 2026: UC TATI, UMT, UniSZA Perkasa Kolaborasi Pacu Terengganu Sebagai Hab Inovasi
Hidayah Azlin
1 jam yang lepas
99

KEMAMAN, 24 Jun — Budaya penyelidikan di Terengganu terus melonjak ke tahap lebih tinggi apabila program Minggu Penyelidikan dan Inovasi (MPI) 2026 berjaya menghimpunkan seramai 356 peserta daripada pelbagai sektor universiti, institusi pendidikan, dan industri.

Program yang memasuki edisi ke-10 itu menyaksikan komitmen jalinan kerjasama strategik yang semakin kukuh antara tiga institusi pengajian tinggi utama di negeri ini, iaitu UC TATI selaku tuan rumah, Universiti Malaysia Terengganu (UMT), dan Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA).

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Keterjaminan Makanan dan Komoditi Negeri Terengganu, Dato’ Dr. Azman Ibrahim berkata, penganjuran yang konsisten sehingga siri ke-10 membuktikan hubungan kolektif ini bukan lagi sekadar program bersama, malah menjadi wadah membina kekuatan ilmu demi masa depan negeri.

"Hari ini kita bukan lagi bercakap tentang program bersama semata-mata, tetapi tentang membina kekuatan ilmu, penyelidikan dan inovasi secara kolektif demi masa depan negeri Terengganu," katanya ketika berucap merasmikan Majlis Penutupan MPI 2026 di UC TATI, di sini, semalam. 

Mengulas lanjut, Dr. Azman menegaskan bahawa cabaran pada masa hadapan tidak lagi mampu digerakkan secara bersendirian oleh mana-mana organisasi.

Sehubungan itu, majlis turut menyaksikan upacara menandatangani (Letter of Intent) (LoI) antara UC TATI, UMT, dan UniSZA sebagai simbolik memperkukuhkan budaya kolaborasi tersebut.

"Kerjasama seperti ini sangat penting kerana kita memerlukan gabungan kepakaran, perkongsian sumber, dan semangat kebersamaan untuk melahirkan penyelesaian yang memberi impak sebenar kepada masyarakat.

"Lebih istimewa, ketiga-tiga institusi ini berada di bumi Terengganu. Ini merupakan satu kekuatan besar yang perlu dimanfaatkan sebaiknya untuk mengangkat negeri ini sebagai hab pendidikan tinggi, penyelidikan, dan inovasi yang disegani," ujarnya.

Siri MPI kali ini mengetengahkan pelbagai hasil penyelidikan kreatif, praktikal, dan bernilai tinggi yang merangkumi bidang-bidang kritikal masa hadapan seperti teknologi pintar, pembangunan bandar pintar, tenaga lestari, pemeliharaan alam sekitar,pendidikan, kesihatan, dan keusahawanan.


Beliau turut menyampaikan ucapan tahniah kepada para pemenang pingat emas serta penerima anugerah khas, sambil berharap pengiktirafan itu menjadi cetusan inspirasi kepada golongan penyelidik muda untuk terus berinovasi.

Selari dengan tema tahun ini, ("Shaping Future-Ready Communities through Research and Innovation"), Dr. Azman percaya momentum positif ini akan menjadi asas kukuh dalam membentuk masyarakat Terengganu yang lebih bersedia menempuh cabaran mendatang.


Tag :

Ketupat

Artikel Berkaitan