Berita :
URBAN TALK 26, Buka Perspektif Transformasi Perancangan Pembangunan
URBAN TALK 26, Buka Perspektif Transformasi Perancangan Pembangunan
Mohd Irsyadi Abu Bakar
22 jam yang lepas
39

KUALA TERENGGANU, 24 Jun - Program URBAN TALK 26, Where Planning Meet Action anjuran Bahagian Kerajaan Tempatan Pejabat Setiausaha Kerajaan Terengganu semalam, memberikan perspektif baru dalam kemajuan perancangan pembangunan di negeri itu.

Menurut Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan, Dato' Wan Sukairi Wan Abdullah, program yang dianjurkan dengan kerjasama PLAN Malaysia Terengganu antara lain adalah untuk memberikan pendedahan kepada semua pihak terlibat dalam industri sama ada industri pembinaan, termasuk yang melibatkan pelaburan dan sebagainya di dalam isu-isu yang berkaitan dengan pembangunan berkaitan dengan inisiatif-inisiatif yang ditawarkan oleh pihak kerajaan untuk memacu pembangunan negeri Terengganu bagi mencapai matlamat yang dikehendaki oleh kerajaan dan rakyat.

"Dalam program selama sehari ini, sebanyak empat kertas kerja telah pun dibentangkan tentang bagaimana peraturan, syarat dan keperluan kebenaran merancang untuk program-program pembangunan dan bagaimana permohonan atau pun kebenaran merancang.

"Ini adalah sesuatu perkara yang perlu dipatuhi oleh semua pihak yang ingin melakukan pembangunan di Negeri Terengganu untuk memastikan program pembangunan yang dilaksanakan bukan sahaja berjalan dengan baik tetapi memberikan impak secara keseluruhan kepada masyarakat," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan Penutupan Urban Talk 26 di Muzium Negeri Terengganu, petang semalam.

Tambahnya, program tersebut turut memberi pendedahan tentang inisiatif-inisiatif yang baru dalam perancangan pembangunan.

"Kita mengharapkan agar daripada  pendedahan dan juga maklumat serta perkongsian yang diberikan akan dapat dijadikan sebagai satu perkara yang kemudiannya diterjemah dalam bentuk tindakan oleh semua pihak yang ingin melakukan apa-apa projek di Negeri Terengganu ini supaya permohonan-permohonan yang diberikan itu tidak ada masalah," ujarnya.

Program sehari itu menampilkan empat pembentang iaitu Ketua Penolong Pengarah Jabatan Kerajaan Tempatan, Meor Syahrizan Meor Sha untuk tajuk 'Transformasi Sistem Penyampaian Perkhidmatan Pembangunan Melalui Inisiatif Baru'.
Seterusnya Pengarah Bahagian Perundangan dan Kawal Selia Perancangan PLANMalaysia, TPr Zarmizan Puji membentangkan tajuk 'Kebenaran Merancang-Pemacu Transformasi Pembangunan'.

Pembentang ketiga pula ialah Ketua Jurutera Negeri (Terengganu) Tenaga Nasional Berhad, Muadzam Amir Mohamed bagi tajuk 'Syarat Teknikal TNB Antara Garis Panduan dan Keperluan Semasa Perancangan'.

Pembentangan 'Lemvaga Rayuan di bawah Akta 172- Semak dan Imbang Perancangan' pula disampaikan Pendaftar Lembaga Rayuan Negeri Selangor, Mohd Haniff Faiz Misnan.


Tag :

Ketupat

Artikel Berkaitan