lightning-solid
Berita :
PSKT Didik Generasi Muda Pelihara Hutan Paya Bakau
PSKT Didik Generasi Muda Pelihara Hutan Paya Bakau
Ahmad Zaeem Zainudin
18 jam yang lepas
261

KUALA TERENGGANU, 20 Julai – Pusat Sains & Kreativiti Terengganu (PSKT) buat julung kalinya menganjurkan Program Bumi Hijau: Hutan Paya Laut sebagai usaha mendidik generasi muda mengenai kepentingan memelihara ekosistem hutan paya bakau.

Program bersempena Minggu Sains Negara Peringkat Zon Timur itu menggunakan pendekatan pembelajaran berasaskan alam semula jadi dengan melibatkan kira-kira 150 peserta.

Mereka terdiri daripada pelajar sekolah berhampiran serta wakil beberapa agensi kerajaan dan badan bukan kerajaan (NGO).

Sebagai simbolik pelaksanaan program, sebanyak 120 anak pokok bakau kurap (Rhizophora mucronata) dan bakau minyak (Rhizophora apiculata) ditanam di kawasan paya bakau PSKT.

Ketua Pegawai Eksekutif PSKT, Mohd Zuhairil Nizam Ibrahim berkata, program perintis tersebut memberi pendedahan kepada pelajar mengenai fungsi dan kepentingan hutan paya bakau dalam memastikan keseimbangan alam sekitar terus terpelihara.

“Ini merupakan kali pertama PSKT menganjurkan Program Bumi Hijau: Hutan Paya Laut.

“Kita memberi keutamaan kepada penglibatan pelajar sekolah supaya pendidikan berasaskan ekosistem paya bakau dapat disampaikan kepada mereka, sekali gus memupuk kesedaran mengenai kepentingan menjaga kelestarian alam,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui pada program tersebut di PSKT di sini pada Isnin.

Menurutnya, hutan paya bakau memainkan peranan penting sebagai benteng semula jadi bagi mengurangkan hakisan tebing sungai, selain menjadi habitat kepada pelbagai spesies flora dan fauna.

Katanya, kewujudan kawasan paya bakau dalam persekitaran PSKT merupakan satu kelebihan yang boleh dimanfaatkan sebagai medium pendidikan alam sekitar, lebih-lebih lagi kedudukannya di tengah bandar raya.

“PSKT terletak di Bandaraya Kuala Terengganu dan mempunyai kawasan paya bakau yang boleh dimanfaatkan bagi tujuan pendidikan.

“Kita mahu menggunakan sumber semula jadi ini untuk memberikan ilmu kepada generasi hari ini supaya kesedaran mengenai pemuliharaan hutan paya bakau dapat diteruskan kepada generasi akan datang,” ujarnya.

Mohd Zuhairil berkata, program berkenaan merupakan langkah permulaan sebelum diperluaskan kepada komuniti dan masyarakat setempat dalam masa terdekat.

“Insya-Allah, selepas ini kita akan memperluaskan program ini kepada komuniti, khususnya penduduk di kawasan berhampiran,” katanya.

Tambah beliau, pengenalan aktiviti berteraskan alam sekitar itu juga mampu menambah nilai kepada PSKT yang sebelum ini lebih dikenali menerusi aktiviti pembelajaran dalam bangunan.

“Inisiatif ini membuka lebih banyak ruang kepada pengunjung untuk meneroka dan mengenali sumber alam semula jadi yang terdapat di sekitar PSKT,” katanya.

Program itu juga selari dengan prinsip alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG), khususnya dalam memperkukuh kelestarian alam serta memupuk kesedaran terhadap penjagaan alam sekitar sejak usia muda.


Artikel Berkaitan