SETIU, 20 Julai - Persatuan Mencegah Dadah Malaysia (PEMADAM) Daerah Setiu disaran mempergiatkan usaha pencegahan penyalahgunaan dan penagihan dadah melalui program kesedaran yang lebih menyeluruh dengan penglibatan aktif masyarakat.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Langkap, Azmi Maarof, berkata usaha membanteras gejala dadah memerlukan kerjasama semua pihak dan tidak boleh dipikul oleh agensi penguat kuasa semata-mata.
"Kita perlu memperkukuhkan usaha pencegahan dan pendidikan berkaitan bahaya penyalahgunaan dadah bermula dari peringkat keluarga hingga ke komuniti. Pendekatan secara menyeluruh dan berterusan amat penting bagi memastikan generasi muda tidak terjebak dengan gejala penagihan.
"PEMADAM perlu terus memainkan peranan sebagai rakan strategik kerajaan dalam memperkasakan program kesedaran dan advokasi agar matlamat melahirkan masyarakat bebas dadah dapat direalisasikan," ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan PEMADAM Daerah Setiu Kali Ke-48 di Bilik Syarahan, Pejabat Daerah Setiu, di sini, hari ini.
Menurut beliau, kerjasama erat antara PEMADAM, agensi kerajaan, institusi pendidikan, pemimpin masyarakat dan badan bukan kerajaan perlu dipertingkatkan bagi memastikan usaha pencegahan dapat dilaksanakan secara lebih berkesan serta berterusan.
Turut hadir Pegawai Daerah Setiu, Haji Yusaini Amir Mohamad Nor, Naib Pengerusi PEMADAM, Zul Bhari A. Rahman, wakil-wakil jabatan kerajaan serta pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK).