lightning-solid
Berita :
PSKT Perkasa STEM, Sedia Generasi Hadapi Era AI
PSKT Perkasa STEM, Sedia Generasi Hadapi Era AI
Rohayati Ripin
20 jam yang lepas
148

KUALA TERENGGANU, 19 Julai 2026 – Pusat Sains dan Kreativiti Terengganu (PSKT) terus diperkasakan sebagai hab pendidikan sains dan inovasi dalam usaha melahirkan generasi berkemahiran tinggi yang mampu mendepani cabaran Revolusi Industri 4.0 serta perkembangan teknologi kecerdasan buatan (AI).

Setiausaha Kerajaan Terengganu,  Dato’ Mohd Azmi Mohamad Daham berkata, peranan PSKT amat penting dalam memperkukuh pelaksanaan Dasar Sains, Teknologi dan Inovasi Negara (DSTIN), khususnya menerusi pendekatan pembelajaran STEM yang lebih kreatif dan interaktif.

"PSKT bukan sahaja menjadi pusat pembelajaran dan penerokaan ilmu kepada rakyat Terengganu, malah turut menarik penyertaan masyarakat dari luar negeri sebagai satu-satunya pusat sains komprehensif di Pantai Timur," jelasnya.

 

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Karnival Minggu Sains Negara Zon Timur 2026 bertemakan “Transformasi Kreatif, Inspirasi STEM” di PSKT hari ini.

Menurut beliau, PSKT bukan sekadar pusat pembelajaran, malah menjadi platform yang membuka peluang kepada masyarakat untuk meneroka bidang sains dan teknologi secara lebih dekat, termasuk golongan pelajar di kawasan luar bandar.

"Kekuatan utama PSKT terletak pada keupayaannya merapatkan jurang akses kepada pendidikan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) antara masyarakat bandar dan luar bandar menerusi pelbagai program interaktif yang memberi pengalaman pembelajaran secara praktikal dan menyeronokkan," ujar beliau.

Katanya, pendekatan tersebut penting bagi memastikan akses pendidikan STEM dapat dinikmati secara lebih meluas tanpa mengira latar belakang atau lokasi.

“Penguasaan bidang STEM merupakan asas penting dalam melahirkan tenaga kerja masa depan yang kreatif, inovatif dan mampu bersaing dalam ekonomi berasaskan teknologi,” tambah beliau.

Sehubungan itu, Kerajaan Negeri akan terus komited menyokong usaha PSKT serta pelaksanaan pelbagai inisiatif berkaitan STEM dalam usaha melahirkan generasi yang berpengetahuan, berkemahiran tinggi dan berdaya saing bagi memenuhi keperluan pembangunan negara pada masa hadapan.


Tag :

Artikel Berkaitan