Berita :
Mahasiswa UniSZA Bentang Strategi Komunikasi Digital Kepada PMINT
Mahasiswa UniSZA Bentang Strategi Komunikasi Digital Kepada PMINT
Adli Mohamad
1 hari yang lepas
55

KUALA NERUS, 27 Jun – Seramai 47 mahasiswa Semester Enam Program Sarjana Muda Perhubungan Awam dengan Media Kontemporari (Kepujian), Fakulti Bahasa dan Komunikasi, Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), membentangkan cadangan strategi komunikasi digital kepada Perbadanan Memajukan Iktisad Negeri Terengganu (PMINT) dan beberapa entiti berkaitannya.

Pembentangan itu melibatkan PMINT, Pertima Terengganu Sdn Bhd, TTI Management Sdn Bhd, Cas Ligas Sdn Bhd dan PB Hotel Management Sdn Bhd.

Ia merupakan sebahagian daripada tugasan kursus Kajian Kes Perhubungan Awam yang memberi peluang kepada mahasiswa meneliti isu komunikasi sebenar dalam organisasi.

Sepanjang kajian, mahasiswa terbabit menilai aspek penjenamaan digital, penyampaian maklumat kepada khalayak serta pengurusan kandungan media sosial setiap organisasi.

Hasil kajian itu kemudian diterjemahkan dalam bentuk cadangan penambahbaikan, termasuk pengukuhan penjenamaan korporat, penyusunan kandungan media sosial secara lebih strategik dan pendekatan komunikasi digital bagi meningkatkan penglibatan khalayak.

Sesi pembentangan berkenaan dinilai panel industri terdiri daripada Ahli Majlis Institute of Public Relations Malaysia (IPRM) merangkap Pensyarah Kanan Xiamen University Malaysia, Rosli Ismail; Pengurus Perhubungan Awam MKH Associates, Navin Francis; serta Eksekutif Perhubungan Awam MKH Associates, Nur Aisyah.

Ketua panel penilai, Rosli berkata, program seumpama itu wajar diteruskan kerana memberi pendedahan langsung kepada mahasiswa mengenai realiti industri komunikasi.

“Program ini sangat baik dan wajar diteruskan kerana memberi pendedahan industri sebenar kepada pelajar,” katanya.

Sementara itu, Penolong Pengurus Bahagian Perancangan Korporat PMINT, Nurul Asyikin Mohd Nor dan Suhaili Mohd Nor berkata, program berkenaan memberi manfaat kepada kedua-dua pihak dari aspek pembangunan bakat serta perkongsian idea.

“Ia satu inisiatif yang baik kerana memberi pendedahan kepada pelajar mengenai cabaran komunikasi sebenar organisasi.

“Terima kasih kerana memilih PMINT dan anak syarikat sebagai entiti kajian kes,” katanya.

Pensyarah kursus, Dr Siti Zanariah Yusoff berkata, pendekatan pembelajaran berasaskan industri membantu mahasiswa memahami aplikasi sebenar teori komunikasi.

Katanya, pendekatan itu juga merapatkan jurang antara pembelajaran di bilik kuliah dengan amalan profesional, khususnya apabila mahasiswa turut mengikuti Work Based Learning (WBL).

“Pendedahan secara langsung ini membantu pelajar memahami keperluan komunikasi organisasi dengan lebih praktikal,” katanya.

Beliau berkata, kerjasama antara universiti, agensi kerajaan negeri dan industri penting bagi memperkukuh pembelajaran berasaskan pengalaman serta melahirkan graduan yang lebih bersedia memenuhi keperluan industri.

Wakil mahasiswa, Siti Aisyah Radhiah Rosmadi pula menyifatkan pengalaman membentangkan hasil kajian di hadapan pengamal industri sebagai mencabar tetapi bermakna.

“Walaupun kami biasa membuat pembentangan, suasana dan debaran kali ini agak berbeza kerana kami dinilai secara langsung oleh pengamal industri yang berpengalaman.

“Pengalaman ini membantu kami memahami isu sebenar dalam industri dan menganalisisnya daripada perspektif perhubungan awam,” katanya.


Tag :

Ketupat

Artikel Berkaitan