HULU TERENGGANU, 23 Mac – Seramai 125 orang guru Pusat Asuhan Tunas Islam (PASTI) dari seluruh Hulu Terengganu menerima duit raya sebagai tanda penghargaan atas dedikasi dan usaha mereka dalam mendidik anak-anak generasi masa depan.
Sumbangan tersebut telah disampaikan oleh Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Perpaduan Nasional Negeri, Maliaman Kassim, dalam satu majlis yang berlangsung pada 22 Mac di perkarangan Pejabat PAS Kawasan Hulu Terengganu.
Menurut Maliaman, inisiatif itu sebagai tanda penghormatan kepada guru-guru PASTI yang bertugas di 25 pusat pendidikan di Hulu Terengganu.
“Sumbangan ini merupakan satu bentuk penghargaan kepada para guru yang berkhidmat tanpa jemu dalam mendidik anak-anak kita. Majlis ini juga memberi peluang kepada mereka untuk bertukar pandangan dan memperkukuh hubungan dalam usaha memperkasakan pendidikan PASTI.
“Walaupun sumbangan ini tidak seberapa, ia sedikit sebanyak sebagai tanda penghargaan buat para guru PASTI Hulu Terengganu yang setia mencurah bakti tanpa mengenal lelah,”katanya.
Tambah beliau, majlis tersebut bukan sekadar simbolik penyampaian sumbangan, malah menjadi ruang bagi pemimpin dan pendidik untuk menjalin hubungan lebih erat serta berkongsi pandangan mengenai peranan pendidikan PASTI di kawasan tersebut.
Para guru yang hadir kelihatan teruja dan berbesar hati menerima sumbangan tersebut dan berharap program sebegini dapat diteruskan bagi membakar semangat mereka dalam menjalankan amanah sebagai pendidik.
Maliaman turut menzahirkan harapan agar para pendidik terus bersemangat dan komited dalam menyampaikan ilmu, sekaligus menyumbang kepada pembangunan modal insan berkualiti di Hulu Terengganu.
"Majlis ini mencerminkan sokongan berterusan terhadap sektor pendidikan serta menunjukkan keprihatinan pemimpin setempat dalam menghargai peranan guru-guru yang menjadi tunjang dalam membentuk generasi akan datang,"katanya.