Hafizah 30 Juzuk Raih Anugerah Pelajaran Diraja UiTM

 

KUALA TERENGGANU, 10 September – Apa jua  kejayaan yang ada pada seseorang individu bukanlah dikecapi dengan mudah. Tanya sahaja mana-mana individu atau pelajar cemerlang di luar sana, pasti ada rahsia di sebalik kecemerlangan yang diperolehi.

Begitu juga dengan Afaf Syahira Ahmad Satmi, 25,anak kelahiran Besut yang baharu sahaja diumumkan sebagai penerima Anugerah Pelajaran Diraja (Pingat Jaya Cemerlang) UiTM 2020 yang disampaikan oleh Menteri Besar Terengganu, Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar dalam satu majlis baru-baru ini.

Ketika ditemui, anak kedua dari empat beradik itu mengakui kaedah menghafaz al-Quran yang dipelajari  menjadi salah satu resipi terbaik untuk setiap kejayaan yang diperolehinya turut terpilih sebagai graduan terbaik Universiti Teknologi MARA  (UITM) tahun lepas.

“Meletakkan al-Quran dan hadis sebagai panduan hidup serta  setiap hari,  dan jangan lupa untuk baca dan mengulang bacaan al Quran, paling minimum, satu muka surat sehari.

“Setiap hari, untuk mulakan hari baru, tajdid (perbaharui) niat kita, Afaf berpegang pada hadis nombor satu Imam Nawawi yang bermaksud ‘Sesungguhnya setiap amalan itu bergantung kepada niat, dan bahawa seusngguhnya bagi setiap orang apa yg dia niatkan. Barangsiapa yang berhijrah menuju kepada Allah dan RasulNya,maka berhijrah kepada Allah dan RasulNya. Barangsiapa yang berhijrah kerana dunia yang dia mahu mencari habuannya, atau kerana seorang perempuan yang dia mahu kahwininya, maka hijrahnya ke arah perkara yang ditujunya itu’.

“Saya jadikannya satu amalan, jadi setiap perbuatan kita kena niat yang betul dan ikhlas,kalau niat sebab Allah, inshaAllah dipermudahkan bila ikhlaskan hati dalam setiap perkara,” ujarnya ketika dihubungi wartawan Urus Setia Penerangan Darul Iman(UPDI) semalam.

Afaf merupakan graduan dalam bidang ljazah Sarjana Muda Pembedahan (Pergigian) di UiTM juga merupakan Hafizah 30 Juzuk dari Sekolah Menengah Imtiaz Yayasan Terengganu, Besut kini berkhidmat di Klinik Pergigian Padang Luas, Jertih.

Katanya, sokongan ibu bapa, Ahmad Satmi Salleh, 56, dan Hayati Awang, 52, adik-beradik serta pensyarah dan rakan sekelas sentiasa melonjak motivasi buat dirinya untuk belajar bersungguh-sungguh.

Tidak kedekut atau lokek dengan kejayaan yang diperolehinya, dia turut berkongsikan sedikit tips untuk mencapai kejayaan ini.

Menurut Afaf, sebagai anak perlu sentiasa memohon restu daripada ibu bapa, tidak meninggalkan solat dan fokus di dalam kelas juga  menjadi rahsia kejayaannya meraih anugerah itu.

“Jaga hubungan dengan Allah dan manusia,terutama sekali ibu bapa kerana doa mereka paling makbul.Rapatkan diri dengan Allah dengan doa, solat sunat ,bangun malam. Allah paling dekat dengan hambaNya yang berdoa padaNya

“Doa ibu bapa tiada hijab dan jangan lupa untuk sentiasa meminta orang lain mendoakan kita, kerana kita tidak tahu mungkin doa salah seorang daripadanya diangkat dan dimakbulkan.Jadi salinglah meminta doa dan mendoakan antara satu sama lain,” katanya.

Sementara itu, Ahmad Satmi yang berkhidmat sebagai pegawai Rakan Penambahbaikan Sekolah di Pejabat Pendidikan Besut berkata, dia dan isteri cukup berbangga dengan kejayaan anak perempuan mereka dan menyifatkan segala pengorbanan anaknya telah terbalas,

“Afaf telah banyak berkorban untuk capai tahap ini, dan apa sahaja yang dia dapat hari ini memang berbaloi dan kami bangga dengannya.

“Dia anak yang baik, kuat semangat dan suka mengalah serta rapat dengan keluarga.Saya dan isteri sentiasa memberikan pemikiran positif kepada dia dan adik beradiknya yang lain bahawa jika orang lain boleh buat ...kenapa kita tak boleh buat, usaha yakin dan tawakkal, Insha Allah akan berjaya,”katanya.

Ketika ditanya tentang petua mendidik anak, Ahmad Satmi berkata setiap anak mereka sejak lahir akan dididik dengan ilmu agama sebagai bekalan hidup termasuk menyuntik kata-kata motivasi.

“kami sekeluarga rapat, sentiasa bercuti bersama-sama malah ketika anak-anak belajar di sekolah berasrama, setiap hari kami akan telefon bertanya khabar dan secara tidak langsung berkongsi masalah jika ada.

“Satu lagi amalan kami suami isteri ialah melakukan solat hajat setiap malam dan berdoa hanya yang terbaik untuk Afaf dan adik beradiknya yang lain, sebab doa ibubapa ini tidak ada hijabnya,”tambahnya.