Hampir 40 Tahun FELDA Kaut Untung, Hak Rakyat Terengganu Dianggap 'Enteng'

KUALA TERENGGANU, 28 Julai- Hampir 40 tahun Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA) mengusahakan tanah seluas 13,686 hektar milik kerajaan negeri Terengganu tanpa memberikan hak yang sepatutnya kepada kerajaan negeri.

Pengerusi Jawatankuasa Pertaniah, Industri Asas Tani, Keterjaminan Makanan dan Komoditi Terengganu, Dr Azman Ibrahim memaklumkan, tuntutan negeri terhadap hasil keuntungan yang dituai selama 39 tahun itu dipandang ringan serta ruang perbincangan yang dibuat sebelum ini tidak disambut sebaiknya.

"Dengan pendekatan yang lebih tegas, FELDA akhirnya datang ke meja rundingan pada 21/3/2024 dan 11/6/2024. Fokus utama rundingan ialah berikan hak rakyat Terengganu dalam bentuk bayaran premium tanah, cukai tanah dan perkongsian keuntungan. 

"Bayaran FELDA diterima pada tahun 2010 sebanyak RM55 juta, tetapi ia lebih kepada bayaran sebelah pihak tanpa ada apa-apa penyelesaian. Pihak FELDA  berbincang dengan Perdana Menteri ketika itu, Datuk Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak dan membuat pembayaran walaupun kita tidak pernah bersetuju dengan kadar yang dibayar itu.

"Bayaran itu dimasukkan ke dalam tabung amanah, jadi duit itu ada tetapi kita belum terima sehingga ada penyelesaian muktamad tentang kadar dan angka-angka yang kita boleh persetujui bersama," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Langkap, Azmi Maarof pada Mesyuarat Kedua Penggal Kedua Dewan Undangan Negeri Ke-15 di Wisma Darul Iman, hari ini.

Menurut Dr Azman, apa yang menjadi pertikaian utama ialah kadar perkongsian keuntungan yang dituntut kerajaan negeri.

"Kerajaan negeri berpegang pada perbincangan awal sebelum ini iaitu sebanyak 30 peratus daripada keuntungan kasar (gross profit), manakala FELDA menawarkan sebanyak 50 peratus pendapatan bersih (net profit), tetapi kita tidak setuju.

"Sebagai contohnya, beberapa tahun kebelakangan ini FELDA kata mereka rugi, jadi saja (sia-sia) lah negeri kerana kita tidak akan dapat apa-apa.

"Sebab itu, kita tekankan kepada 'gross profit' kerana tidak adil bagi kita yang kena tanggung segala kos, urusan operasi, akhirnya mereka isytiharkan kerugian dan negeri tidak mendapat apa-apa.

"FELDA kemudian mencadangkan 15 peratus keuntungan kasar, tetapi belum lagi kita persetujui dan kita mahu runding lagi," ujarnya.

Beliau menambah, urusan selanjutnya sedang diteliti di peringkat 'working comitte' untuk penelitian lanjut beberapa perkara teknikal antaranya keluasan sebenar tanah kerana sebahagian tanah yang diberikan kepada Felda telah diambil untuk projek LPT2 dan ECRL.

"Kerajaan negeri tidaklah tegar sehingga tiada perbincangan langsung, kita ada ruang-ruang perbincangan dan di peringkat 'working comitee' akan memperincikan perkara ini," jelasnya.


Tag: