BESUT, 18 April - Terengganu menjadi satu-satunya negeri yang mewujudkan tabung bencana pertaniannya sendiri dalam negara ini selepas mula diperkenalkan sejak lebih dua tahun lalu.
Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Makanan, Perladangan, Komoditi dan Pembangunan Luar Bandar negeri, Dr Azman Ibrahim berkata tabung itu menerima peruntukan sebanyak RM1 juta setiap tahun sejak ia mula diaktifkan.
"Sejak 2020 sebenarnya Tabung Bencana Pertanian Terengganu ini telah banyak membantu petani, penternak, nelayan dalam kita berhadapan dengan musibah bencana yang tidak dijangka.
"Seperti berlakunya bencana alam seperti banjir, ribut, ombak besar, petir tanah runtuh wabak penyakit, binatang buas dan haiwan liar meliputi tiga sektor (perternakan, pertanian dan perikanan)," ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita di Bantuan Bencana Pertanian 2023, di Dewan Sivik Jabi, di sini, semalam.
Mengulas lanjut, Dr Azman berkata walaupun Tabung Bencana Pertanian yang diwujudkan itu peruntukanya sebanyak RM1 juta setiap tahun namun dalam berhadapan bencana besar seumpama tahun lalu ia tidak mencukupi.
"Jadi dalam berhadapan bencana seumpama bulan Februari dan Disember tahun lalu kerajaan negeri bersetuju untuk menambah jumlahnya berdasarkarkan musibah di luar jangka yang berlaku itu," ujarnya.
Dalam itu, beliau memaklumkan kerajaan negeri melalui Jabatan Pertanian Negeri Terengganu akan sentiasa berusaha bagi menghasilkan pengeluaran yang mencukupi dan memberi jaminan bahawa bahan mentah terutama ayam dan daging segar berupaya memenuhi permintaan menjelang perayaan nanti.
"Insya-Allah mencukupi, kita sehabis daya berusaha untuk mengeluarkan makanan demi keperluan rakyat bukan setakat di bulan Ramadan dan musim perayaan tetapi sepanjang tahun," ujarnya lagi.