Lapan penerima RMM Paya Lawas bergambar bersama Ghazali selepas menerima kunci rumah masing-masing |
DUNGUN, 30 Jun- Orang ramai yang ingin memohon Rumah Mampu Milik (RMM) dinasihatkan supaya berhati-hati dari terjebak dalam sindiket penipuan yang dijalankan oleh sesetengah pihak yang tidak bertanggungjawab.
Pegawai Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Besi, Ghazali Sulaiman berkata beliau telah menerima aduan beberapa individu di DUN berkenaan yang terlibat menjadi mangsa penipuan kerana keperluan yang mendesak demi memliki rumah.
“Pihak yang menipu ini meminta sejumlah amaun memberi jaminan bahawa mempunyai jalan dan cara untuk mendapat RMM.
"Jadi suka diperingatkan agar berhati-hati dengan mereka-mereka yang tidak bertanggungjawab ini. Sebagaimana contoh RMM Paya Lawas mereka mendakwa bahawa ada jalan bagi membantu untuk mendapatkan rumah berkenaan," jelas beliau.
Beliau berkata demikian ditemui pihak media, selepas Majlis Pengundian LOT, Tandatangan Perjanjian dan Serah Kunci Rumah Mampu Milik Paya Lawas, di Bukit Besi, baru-baru ini.
Menurut Ghazali lagi, orang ramai perlu memastikan sumber yang diperolehi adalah tepat berkaitan RMM berkenaan dan lebih malang menurutnya, ada yang sanggup membayar pendahuluan kerana diberi keyakinan akan dapat memiliki rumah berkenaan.
"Jadi, kasihanlah kerana sikap tidak berhati-hati apabila sudah tersedar ditipu baru menemui kita, sedangkan sudah terlambat apa yang terjadi tiada pun dalam pengetahuan kita," jelasnya.
Tambahnya, ada juga pihak yang menjaja namanya sebagai Pegawai Penyelaras DUN dengan mengatakan bahawa mempunyai pertalian rapat dan boleh memujuk bagi mendapatkan rumah.
"Nasihat saya agar bertemu dan mendapat penjelasan daripada Pihak Perbadanan Memajukan Iktisad Negeri Terengganu (PMINT) untuk mengetahui segala perkara dengan lebih lanjut dan tepat," ujar beliau.
Dalam pada itu, lapan orang pemohon RMM Paya Lawas yang telah sekian lama memohon telah diserahkan kunci bagi mendiami kediaman berkenaan apabila telah cukup syarat yang dikehendaki oleh PMINT dan telah pun hadir temuduga.
" Jika dikira, RMM Paya Lawas ini sudah penuh dan tiada lagi kekosongan, namun kerana adanya pemilik yang melanggar syarat sebagaimana yang ditetapkan maka berlaku pemutihan.
"Antara syarat yang telah dilanggar ialah ialah menyewakan rumah berkenaan kepada orang lain, tidak menduduki, sudah memiliki rumah kerana diantara kriteria bagi mendapatkan RMM adalah benar-benar golongan miskin, mempunyai tangunggan ramai serta benar-benar ingin mendiami dan menduduki.Lapan orang yang dapat ini dikira bertuah kerana berada didalam senarai menunggu semenjak sekian lama," jelas Ghazali lagi.