Berita :
Henti Kebergantungan Import, Fokus R&D Bateri Domestik -  Fadillah
Henti Kebergantungan Import, Fokus R&D Bateri Domestik - Fadillah
Ahmad Zaeem Zainudin
19 jam yang lepas
61

DUNGUN, 18 Mei - Kerajaan Malaysia menegaskan keperluan kritikal untuk negara membina kekuatan dalaman dalam teknologi penyimpanan tenaga (BESS) bagi mengurangkan kebergantungan sepenuhnya terhadap import bateri dari luar negara.

Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA), Datuk Amar Fadillah Yusof berkata, memandangkan situasi global yang tidak menentu, Malaysia perlu memiliki keupayaan sendiri untuk menghasilkan teknologi berkaitan tenaga, termasuk BESS.

Beliau menyarankan agar Tenaga Nasional Berhad (TNB) tidak hanya mengehadkan kerjasama dengan pembekal luar negara kepada urusan pembelian semata-mata, sebaliknya perlu beralih kepada pemerkasaan Penyelidikan dan Pembangunan (R&D).

"Kita patut sekarang ini fokus pada R&D dan juga bagaimana kita dapat membina kekuatan dalaman kita dari segi pengeluaran bateri dan pelbagai lagi teknologi yang ada hubungkait dengan bekalan tenaga kita.

"Sebab kita perlu fokus pada perkara ini kerana kita tidak tahu apa yang berlaku di peringkat global yang tidak menentu ini.

"Jadi kita tidak boleh lagi bergantung dengan negara luar," tegas beliau dalam sidang media selepas merasmikan Sistem Penyimpanan Tenaga Bateri (BESS) Santong berkapasiti 100MW/400MWh hari ini.

Penegasan tersebut merupakan susulan daripada pelaksanaan projek BESS di Santong, Paka, yang berpotensi untuk menjadi platform pembelajaran penting bagi industri tenaga negara dalam aspek pembangunan dan integrasi teknologi penyimpanan tenaga berskala utiliti.

Terdahulu, media melaporkan amaran terhadap kemungkinan risiko kenaikan kos bateri seperti yang dinyatakan oleh firma penyelidikan, AmInvest pada tahun lepas.

Menurut Fadillah, inisiatif pembinaan fasiliti itu juga merupakan sebahagian daripada usaha memenuhi tiga elemen utama (trielemen) rantaian bekalan tenaga negara.

"Pertama sekali, keterjaminan bekalan. Kedua ialah kelestarian, iaitu untuk kita pastikan tenaga yang dibesarkan ini adalah mesra alam.

"Supaya kita tidak merosakkan alam sekitar dan kita nak mengurangkan juga bekalan kebergantungan daripada sumber-sumber daripada pembakaran karbon," ulasnya kepada pemberita.

Beliau menekankan bahawa elemen kelestarian adalah penting bagi memastikan sektor tenaga menyumbang sebanyak 70% daripada sumber tenaga boleh baharu menjelang tahun 2050.

Tambahnya, kemampuan kos yang kompetitif bagi rakyat dan ekonomi menjadi fokus ketiga dalam trielemen tersebut.

"Sebab itu kita juga melihat kemampuan tenaga ini mampu dibiayai oleh rakyat kita dan juga ianya kompetitif untuk syarikat-syarikat dari segi sudut ekonomi supaya kita boleh bersaing dengan negara-negara lain," jelasnya.


Ketupat

Artikel Berkaitan