Berita :
Sekolah Agama Kini Setanding Sekolah Elit Sains
Sekolah Agama Kini Setanding Sekolah Elit Sains
Rohayati Ripin
1 jam yang lepas
70

KUALA TERENGGANU, 19 Mei – Kejayaan Sekolah Menengah Agama (Atas) Sultan Zainal Abidin (SMAASZA) mencatat keputusan cemerlang dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2025 membuktikan sekolah aliran agama kini mampu berdiri setanding sekolah elit sains di Terengganu.

Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Dakwah dan Pemerkasaan Syariah Negeri Terengganu, Dr. Muhammad Khalil Abdul Hadi berkata, pencapaian SMAASZA menjadi bukti bahawa sekolah agama bukan sahaja melahirkan pelajar cemerlang akademik, malah berjaya membentuk sahsiah dan akhlak berteraskan Islam.

Beliau berkata, daripada keseluruhan 112 calon yang menduduki peperiksaan SPM 2025, seramai 32 pelajar berjaya memperoleh keputusan semua A manakala tiga pelajar memperoleh semua A+.

"Tujuh orang Tamayuz 30 juzuk Al Quran dan empat pelajar cemerlang itu ialah Umair Lokmanulhakim, Wan Mur Izzah Wan Mohd Sufiyan, Muhammad Adam Syafiq Sulaiman dan Ahmad Nafiz  Mohd Nazron..

"Kejayaan ini adalah hasil usaha gigih pelajar, pengorbanan ibu bapa, komitmen guru-guru dan sokongan seluruh warga sekolah," jelasnya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pihak media selepas beliau merasmikan Majlis Anugerah Keterbilangan SPM 2025 SMA (Atas) Sultan ZAinal Abidin, di sini.

Menurut beliau, SMAASZA turut mencatat peningkatan Gred Purata Sekolah (GPS) kepada 1.91 berbanding 2.08 pada tahun lalu.

Katanya, pencapaian itu membolehkan SMAASZA muncul sebagai sekolah ketiga terbaik di Terengganu selepas Sekolah Menengah Sains Sultan Mahmud dan Sekolah Menengah Sains Kuala Terengganu.

"Malah SMAASZA turut dinobatkan sebagai sekolah menengah agama terbaik bagi semua sekolah aliran SABK dan SMKA di negeri ini.

"Ini membuktikan sekolah agama mampu bersaing dan mencapai kecemerlangan setanding sekolah berprestasi tinggi lain,” katanya.

Beliau menambah, kerajaan negeri amat berbangga dengan SMAASZA yang disifatkan sebagai antara sekolah menengah agama paling berprestij di Terengganu berdasarkan sejarah serta pencapaiannya yang konsisten.

Katanya, sejak penubuhannya sekolah itu telah melahirkan ramai tokoh dalam pelbagai bidang termasuk golongan ulama dan umarak.

Dalam pada itu, beliau berkata penganjuran majlis berkenaan bertujuan meraikan pelajar cemerlang selain memberi motivasi kepada mereka untuk terus meningkatkan prestasi pendidikan pada peringkat lebih tinggi.

Tambah Khalil, kejayaan sebenar bukan hanya diukur melalui keputusan peperiksaan, sebaliknya turut melibatkan pembentukan syahsiah pelajar yang berteraskan nilai Islam.

"Inilah kekuatan sebenar SMAASZA yang sentiasa mengangkat tagline ‘Insan Rabbani SMAASZA Disegani’," tambah beliau.


Tag :

Ketupat

Artikel Berkaitan