DUNGUN, 18 Mei — Kejohanan Bola Sepak dan Bola Jaring (BSBJ) PASTI Kawasan Dungun berlangsung dengan penuh meriah apabila ribuan penyokong yang terdiri daripada ibu bapa dan ahli keluarga hadir memeriahkan program tahunan tersebut.
Kejohanan yang menghimpunkan murid-murid PASTI dari seluruh kawasan Dungun itu menjadi platform penting dalam mencungkil bakat sukan di samping membina keyakinan diri dan semangat berpasukan dalam kalangan peserta sejak usia muda.
Sebanyak 32 pasukan menyertai acara bola sepak manakala 23 pasukan lagi mengambil bahagian dalam pertandingan bola jaring yang berlangsung dalam suasana penuh semangat dan persaingan sihat.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rantau Abang, Mohd Fadhli Rahmi Zulkifli ketika merasmikan kejohanan tersebut berkata, program berkenaan bukan sahaja melahirkan pelajar yang aktif dalam bidang sukan, malah turut mengeratkan hubungan silaturahim antara ibu bapa, guru dan masyarakat setempat.
Menurut beliau, aktiviti seperti itu amat penting dalam membentuk generasi muda yang seimbang dari segi akademik, sahsiah dan semangat kerjasama.
“Program ini bukan sahaja menghimpunkan bakat pelajar PASTI bahkan ia merupakan medan untuk memupuk semangat ukhuwah dan kesatuan antara kita,” katanya.
Sorakan dan sokongan padu daripada para ibu bapa jelas menceriakan lagi suasana kejohanan apabila setiap pasukan mempamerkan aksi terbaik masing-masing sepanjang pertandingan berlangsung.
Kejohanan tahunan itu diharap dapat diteruskan pada masa akan datang sebagai usaha memperkukuhkan hubungan komuniti serta melahirkan lebih ramai pelajar yang cemerlang dalam pelbagai bidang.
Tag :