Berita :
Terengganu Sasar Lima Pingat, Satu Emas Dalam E-Sukan SUKMA Selangor
Terengganu Sasar Lima Pingat, Satu Emas Dalam E-Sukan SUKMA Selangor
Mastura Jamal Din
22 jam yang lepas
142

KUALA TERENGGANU, 7 Jun -  Kontinjen e-sukan Terengganu meletakkan sasaran meraih lima pingat termasuk satu pingat emas pada temasya Sukan Malaysia (SUKMA) Selangor 2026 yang dijadual berlangsung Ogos depan.

Pengerusi Jawatankuasa Ekonomi Digital, Pendapatan Baharu, Perdagangan, Perindustrian dan Teknologi Hijau negeri, Mohd Nurkhuzaini Ab. Rahman berkata, sasaran itu dibuat berdasarkan penilaian pengurus pasukan dan jurulatih terhadap tahap persediaan serta potensi semasa atlet.

Menurut beliau, keyakinan itu turut disandarkan kepada kemampuan pasukan untuk memberi saingan hebat dalam acara e-sukan yang semakin kompetitif di peringkat kebangsaan.

“Berdasarkan laporan dan maklum balas yang diterima daripada pengurusan pasukan serta jurulatih, kita optimis mampu mencapai sasaran lima pingat termasuk satu emas pada SUKMA kali ini.

“Malah, saya percaya pasukan Terengganu berupaya mencabar kedudukan negeri-negeri lain dan menguasai beberapa acara yang dipertandingkan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Ramah Mesra Bersama Pasukan E-Sport Terengganu Sukma XXII Tahun 2026 di Paya Bunga Hotel, semalam.

Tambahnya, pasukan e-sukan Terengganu kali ini diwakili 28 atlet yang dibimbing enam jurulatih berpengalaman serta seorang pengurus pasukan.

“Mereka akan beraksi dalam enam daripada tujuh acara yang dipertandingkan iaitu EFootball Mobile, Mobile Legends: Bang Bang (MLBB) lelaki dan wanita, Honor of Kings (HOK), Street Fighter serta Racing Simulator – RaceRoom,” ujar beliau.

Mohd Nurkhuzaini berkata, perkembangan pesat industri e-sukan membuktikan bidang itu bukan lagi sekadar platform hiburan, sebaliknya telah berkembang menjadi industri berimpak tinggi yang mampu menjana ekonomi serta melahirkan pemain profesional bertaraf antarabangsa.

Katanya, pembangunan e-sukan juga selari dengan aspirasi kerajaan negeri untuk memperkukuhkan ekonomi digital melalui penglibatan aktif generasi muda dalam bidang teknologi dan inovasi.

“E-sukan membuka ruang luas kepada anak muda untuk menyerlahkan bakat dan kemahiran mereka. Pada masa sama, ia mengajar nilai disiplin, kerjasama berpasukan, komitmen dan daya saing yang tinggi.

“Saya berharap atlet yang terpilih dapat memanfaatkan peluang ini sebaik mungkin dan memberikan aksi terbaik demi mengharumkan nama Terengganu,” ujarnya.

Beliau turut mengingatkan atlet supaya tidak mudah berputus asa sekiranya berdepan cabaran sepanjang pertandingan, sebaliknya menjadikan setiap pengalaman sebagai pemangkin untuk bangkit dengan lebih kuat.

“Saya yakin atlet e-sukan Terengganu mempunyai kemampuan untuk mencipta kejayaan pada SUKMA Selangor 2026. Bertandinglah dengan penuh semangat juang dan keyakinan demi membawa pulang kejayaan untuk negeri,” katanya.


Tag :

Ketupat

Artikel Berkaitan