Himpunan 'RXZ Members' Akan Kembali Dengan Pengisian Rohani - MB Terengganu

Ahmad Samsuri menegaskan, 'RXZ Members' 4.0 akan kembali dengan wajah baru. Foto - Hishamuddin Abdullah
KUALA NERUS, 28 Julai - Slot pengisian rohani akan menjadi keutamaan kerajaan negeri bagi penganjuran Himpunan 'We Are RXZ Members' 4.0 tahun hadapan.

Menteri Besar, Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar menegaskan, pihaknya akan berusaha untuk memperbaiki segala kekurangan yang ada supaya ia memberi impak positif kepada semua termasuk masyarakat sekitar.

Katanya, perkara itu termasuk aturcara program melibatkan slot pengisian jiwa yang bakal diperhalusi dan diperkenalkan kepada peserta himpunan siri keempat nanti.

"Perkara itu sangat penting dalam membina jiwa dan sahsiah anak muda yang terlibat dalam dunia permotoran ini," ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas merasmikan Majlis Penutup Himpunan 'We Are RXZ Members' 3.0 di Litar Permotoran Negeri Terengganu, di sini semalam.

Hadir sama, Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) negeri, Hishamuddin Abdul Karim, Agensi-Agensi Berkuasa dan Pengusaha-Pengusaha Sukan Permotoran Malaysia.

Aksi menarik diperagakan peserta Himpunan 'RXZ Members' 3.0.
Kata Ahmad Samsuri lagi, himpunan pemilik dan peminat sukan permotoran itu juga merupakan satu langkah untuk mengelakkan belia terjebak dengan perkara yang tidak sihat.

"Inisiatif ini merupakan kerjasama dengan setiap NGO dan kerajaan negeri untuk menguruskan anak muda dengan kaedah terbaik.

"Walau apapun minat dan kerja mereka, kita harus positif, menghargai serta meraikan mereka dengan cara yang betul, sikap inilah yang akan membentuk perasaan positif dalam kalangan orang muda," tambah beliau.

Himpunan 'We Are RXZ Members' 3.0 yang berakhir petang semalam berjaya melakar sejarah tersendiri apabila hampir 18 ribu peminat seluruh negara RXZ membanjiri program itu.

Penganjuran yang bermula pada tahun 2017 itu turut diserikan dengan penyertaan pelawak terkenal, Achey Bocey.

Ahmad Samsuri meredah hujan dari kediamannya menuju ke tapak himpunan.


Tag: